SHAH ALAM – PAS menolak sebarang rundingan dengan mana-mana pihak termasuk PKR yang mahu membincangkan isu calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata keputusan PAS untuk meletakkan calon sendiri di Parlimen itu adalah muktamad, sekali gus tidak perlu dipertikaikan sesiapa.
Katanya, ia berikutan, secara tradisinya kerusi di kawasan berkenaan adalah milik PAS sejak dahulu lagi.
“Kami yakin PAS mempunyai peluang cerah pada PRK ini kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional berlaku dan semua ahli PAS tidak akan melayan sebarang isu yang bertujuan mengganggu fokus PAS,” katanya selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana dan Pelancaran Program Insentif Pangsapuri Kos Rendah Sempena Kempen Jimat Air, di Seksyen 26, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau sedia berjumpa dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi membincangkan isu calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Sementara itu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, berkata sebarang isu antara PAS dengan kerajaan Selangor diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan PAS Pusat bagi menyelesaikannya.
“Kandungan pertemuan antara Menteri Besar dan EXCO PAS adalah tidak penting. Apa yang lebih penting, Menteri Besar membuat pengumuman bahawa PAS akan kekal bersama pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Perbalahan isu meletakkan calon pembangkang di kerusi Parlimen itu semakin besar selepas timbulnya dakwaan bahawa Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, mengugut tiga EXCO PAS Selangor supaya meletak jawatan, sekiranya berkeras untuk terus meletakkan calon pada PRK Parlimen Sungai Besar. – BH