KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon dan pengacara, Neelofa memuat naik sekeping gambar ketika bercuti di Istanbul, Turki yang dikatakan seksi telah menimbulkan perdebatan banyak pihak.
Pakaiannya dalam gambar yang dimuat naik empat hari lalu menerusi laman sosial Instagram @neelofa dan menerima 36,500 ‘like’ itu dikatakan agak nipis sehingga menampakkan bentuk badan.
Pelbagai kritikan dilemparkan kepada pelakon filem Dollah Superstar yang mengaitkan cara pemakaiannya itu tidak kena dengan status beliau sebagai wanita bertudung.
Antara kritikan negatif kepada Noor Neelofa Mohd. Noor itu ialah, @syedlevin yang berkata : “Baju itu jaranglah, nampak baju dalam. Nak tutup aurat biar betul-betul jangan dekat Malaysia sahaja tutup rapi.”
Sementara itu, @abs_dot_com pula berkata: “Tak tahu nak cakap apa, tapi lebih baik kalau dilabuhkan sedikit tudung itu supaya tiada fitnah yang datang.”
Biarpun menerima pelbagai kecaman, ada juga segelintir pengikut Neelofa yang masih memberikan kata-kata semangat serta meminta agar beliau tidak menghiraukan komen yang kurang berasas itu.
@nuratiqahnasron umpamanya berkata, adalah lebih baik berhenti menghukum orang lain kerana masih banyak yang boleh dibuat berbanding mencari salah orang lain.
Neelofa turut membalas kritikan terhadapnya dengan menulis: “Aku yang pakai, kau yang panas.”
“Cuaca di Istanbul agak sejuk, jadi memang kena pakai sekurang-kurangnya dua lapisan baju, kalau tidak kulit akan jadi kering. Kalau dah pakai dua lapis baju pun masih lagi kata jarang, rasanya saya tak mampu nak pakai 10 lapis baju,” katanya. – Utusan