loading...

Jangan Pedulikan PAS, PH Kena Letak Calon PRK, Kata Pemimpin DAP

DAP Perak mencadangkan Pakatan Harapan (PH) tetap meletakkan calon di PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar tanpa mempedulikan peranan Pas.

 

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa ini kerana memandangkan Pas kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang tetapi mendakwa parti itu lebih cenderung untuk ‘menasihati UMNO’.

 

“Rakyat Malaysia tetap berhak untuk mendapat satu barisan alternatif yang lebih mampan untuk menggantikan UMNO-BN, oleh itu adalah disyorkan PH meletak calon yang terbaik di kedua-dua supaya rakyat mempunyai peluang memilih siapa yang paling layak mewakili mereka di Parlimen pada 18 Jun nanti,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap menegaskan Pas tetap mempertahankan keputusan mereka untuk bertanding di kedua-dua PRK sambil menolak ada sebarang rundingan dengan parti pembangkang lain termasuk PKR.

 

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping memberitahu, walaupun PH Perak telah membuat tawaran terbuka kepada Pas sejak dua minggu lalu untuk bertanding di salah satu kerusi PRK tetapi sikap angkuh dan keengganan pimpinan Pas untuk berunding menunjukkan parti itu kini hanya berminat untuk menguntungkan UMNO.

 

“Pas menyedari bahawa sebarang perlawanan tiga penjuru antara BN, PH dan parti itu akan menguntungkan BN tetapi parti itu tetap degil dengan sikap tutup pintu enggan berunding, sikap sedemikian menunjukkan Pas mahu menggagalkan usaha PH untuk mengalahkan UMNO, adalah amat pelik tujuannya berpolitik bukan untuk menang tetapi ingin menjadi ‘sekutu sulit’ UMNO-BN,” dakwanya.

 

Menurutnya, adalah lumrah hidup mana-mana parti politik untuk membuat rundingan tetapi sikap tutup pintu yang dipamerkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini menunjukkan parti itu sudah menolak PH sebaliknya lebih cenderung untuk menyelamatkan UMNO. – MalaysiaGazette

Previous
Next Post »
loading...