loading...

Bung Moktar Terlalu ’Emosional’ – KPN

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Moktar Radin disifatkan sebagai seorang yang terlalu ’emosional’ apabila mencadangkan agar polis menembak penagih dan pengedar dadah bagi menyelesaikan gejala sosial itu.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebarang tindakan yang diambil polis haruslah mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

 

Oleh itu, cadangan Bung Moktar itu tidak boleh dilaksanakan kerana tidak sesuai dengan peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara ini.

 

“Kita tak boleh emosional dalam memberi pandangan atau tindakan. Sebarang tindakan mesti berlandaskan peraturan dan undang-undang,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Serah Tugas/Jawatan Pengarah Jabatan KDNKA, di MES Pegawai Kanan Bukit Aman.

 

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan Bung Moktar mengenai penyelesaian drastik bagi membendung masalah salah guna dadah di negara ini.

 

Terdahulu, Bung Moktar meminta kerajaan mengikut cara negara Brazil menangani masalah tersebut tanpa membawanya ke mahkamah, tetapi mengarahkan polis yang menyamar supaya menembak penagih dan pengedar dadah.

 

Mengulas lanjut, Khalid berkata beliau juga tidak pasti sama ada Brazil melaksanakan langkah sedemikian.

 

“Saya tak tahu sama ada betul ke Brazil buat begitu. Sudah semestinya (undang-undang) tak sesuai kerana tidak mengikut peraturan dan undang-undang serta tidak boleh dilaksanakan di negara kita,” katanya.

 

Bung Moktar mengutarakan pandangan itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Antidadah Kebangsaan 2016 di Dewan Rakyat semalam.

Previous
Next Post »
loading...