KUCHING – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin melahirkan rasa kesal kerana tidak sempat memberi cadangan kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad supaya tidak menaiki helikopter ketika berada di Sarawak.
Mengakui mengenali rapat dengan Wan Mohammad Khairil Anuar dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, Bung berasa sangat sedih dengan berita nahas helikopter berkenaan yang disyaki telah mengorbankan kesemua penumpang termasuk juruterbang.
“Kekesalan saya adalah saya tidak sempat memberi amaran agar dia tidak menaiki helikopter ketika di Sarawak. Ini kerana cuaca di sana tidak boleh diramal.
“Saya rapat dan mesra dengan kedua-dua Ahli Parlimen ini. Apakan daya Allah lebih sayangkan mereka. Semoga roh mereka dan yang lain sentiasa dirahmati Allah dan semoga seluruh ahli keluarga dapat bersabar dan menerima takdir daripada Allah,” kata Bung kepada BNBBC.my portal pada Jumaaat.
Terdahulu, isteri kepada Wan Mohammad Khairil Anuar, Datin Mastura Mohd Yazid dilaporkan telahpun berada di Kuching, Sarawak sebaik sahaja mengetahui berita serpihan helikopter yang dinaiki suaminya ditemui.
Mastura bersama anak lelakinya, Wan Iskandar Wan Mohammad Khairil bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sarawak kira-kira jam 11.45 pada Jumaat.
Sementara itu, adik kepada Wan Mohammad Khairil Anuar, Wan Mohd Khir Johari berkata, beliau ada berbalas mesej dengan abangnya pada petang semalam sebelum menerima panggilan daripada seorang sahabat dari Pejabat Menteri Besar yang memberitahu tentang insiden tersebut.
“Ikutkan gerak hati, saya rasa abang saya selamat. Saya sempat berbalas mesej dengannya. Namun, selepas Maghrib, saya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.
“Saya terus cuba menelefon abang saya berkali-kali tetapi dia tidak dapat dihubungi dan kali terakhir saya cuba menghubunginya ialah pada pukul 9.25 malam,” kata Wan Mohd Khir Johari.
Pesawat jenis Eurocopter AS350 yang membawa mangsa, berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.
Turut berada dalam helikopter itu selain Wan Mohammad Khairil Anuar, Noriah dan suaminya Asmuni Abdullah adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas. – BNBBC