SHAH ALAM – Sekiranya tidak lagi menjadi ‘Upin dan Ipin’, pelakon suara Asyiela Putri Azhar tidak berhajat menjadi pelakon dengan menonjolkan diri di kaca televisyen.
Asyiela, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sebaliknya mahu mengejar impiannya menjadi seorang arkitek.
“Saya sebenarnya tidak terfikir untuk menjadi pelakon. Saya selesa berada di belakang Upin Ipin.
“Tetapi jika tidak lagi menjadi Upin Ipin, saya tak mungkin berlakon diluar. Cita-cita saya hendak jadi jurutera,” kata pelajar aliran sains di sebuah sekolah di Putrajaya kepada ProjekMMO.
“Di sekolah, saya ada ambil subjek lukisan kejuruteraan, saya memang minat. Ayah saya kata untuk sambung belajar, kena tengok keputusan SPM nanti.”
Mensasarkan keputusan SPM yang cemerlang, Asyiela berkata pihak pengurusan Les’Copaque memahami situasinya dan menghadkan jadual rakaman.
“Mereka memahami saya hendak SPM tahun ini. Kalau dulu dua kali seminggu, dan tahun ini mungkin seminggu sekali sahaja.
“Dan masa rakaman juga akan lebih pendek,” katanya yang mula melakonkan suara Upin Ipin sejak usia 10 tahun.
Mengenai kerjayanya bersama syarikat produksi animasi berkenaan, Asyiela berkata dirinya tidak terikat dengan sebarang kontrak.
“Tidak tahu sampai bila, tapi saya sedia berkhidmat sehingga diperlukan,” kata anak kelahiran Selangor yang sudah tujuh tahun membesar bersama watak kanak-kanak kembar kampung.
LAPORAN VIDEO MENYUSUL
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW