KUALA LUMPUR – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bekas pegawainya ada mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kecewa dengan kes siasatan SRC International (SRC).
SPRM melalui satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi berkata, bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zain, 58, ketika dihubungi menafikan telah mengelaurkan sebarang kenyataan seperti yang dilaporkan oleh portal pembangkang Malaysiakini.
“Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Dato’ Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Dato’ Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut.
“Beliau yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014 telah bersara berkuat kuasa 30 Disember 2016,” memetik kenyataan tersebut.
Portal Malaysiakini petang tadi mendakwa Bahri dilaporkan berkata persaraan awal dilakukannya itu kerana kecewa dengan kes SRC yang tidak boleh dibawa ke mahkamah, selain tidak mahu bersekongkol dengan perkara yang tidak baik.
Selain mengesahkan mengenai perletakan jawatan Bahri, SPRM turut menjelaskan beliau telah memohon untuk bersara awal sejak enam bulan lalu atas kehendak sendiri.
“SPRM ingin mengesahkan bahawa Dato’ Bahri Mohammad Zin telah memohon kepada kerajaan untuk persaraan pilihan atas kehendaknya sendiri enam bulan yang lalu.
“Permohonan yang dibuat itu selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang enam bulan sebelum tarikh persaraan,” ujar kenyataan tersebut lagi. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW