KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui, perseorangan lelaki kini ibarat berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas semakin ketinggalan berbanding acara lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, bahagian perseorangan lelaki perlu segera menyediakan perancangan khusus untuk membangunkan pemain bagi mengambil alih tanggungjawab jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Katanya, kecuali Chong Wei, pemain lain di bawah kendalian Hendrawan, Tey Seu Bock serta Indra Wijaya menunjukkan prestasi yang sederhana tanpa memiliki banyak pencapaian besar.
“Perseorangan lelaki selepas era Chong Wei boleh diibaratkan berada dalam ICU dan kita sedang berikan rawatan ICU untuk mempercepatkan pembangunan mereka.
“Saya akui mereka berdepan kesukaran kerana saya ada minta tiga nama selepas Chong Wei dan mereka (jurulatih) sukar untuk berikan nama-nama itu kepada saya.
“Saya mahu lihat pelan pembangunan segera kerana dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang saya mahu lihat siapa yang boleh bersaing di pentas yang lebih tinggi dari segi ranking,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.
Mohamad Norza juga mahu barisan kejurulatihan BAM, terutama perseorangan lelaki membentuk pemain yang lengkap bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal tetapi mempunyai kemampuan untuk membaca permainan dengan pantas.
“Sekarang ini bukan masanya untuk kita mendengar pemain ini berusia 22 tahun dan dia memerlukan masa hingga dia berusia 25 tahun untuk berada di tahap terbaik.
“Sekarang ini kita mahu bertanya, pemain ini berada di ranking 20 terbaik dunia dan adakah dia mampu untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dalam kadar segera?
“Kita memerlukan pemain yang lengkap dari segi mental, fizikal dan mampu membaca permainan kerana yang ada sekarang ini, mereka hanya mampu membaca permainan pada set kedua tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk memenangi set ketiga,” katanya lagi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW