KOTA BHARU — Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 14,132 orang daripada 5,046 keluarga setakat 1 tengah hari ini berbanding 12,636 orang daripada 4,307 keluarga 8 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata mereka ditempatkan di 53 pusat pemindahan di tujuh jajahan.
Jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di jajahan Pasir Mas iaitu 10,483 orang daripada 3,924 keluarga yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan diikuti Tumpat seramai 2,196 orang daripada 729 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata 685 orang daripada 179 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan di Kota Bharu, seramai 25 orang (sembilan keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Tanah Merah, 603 orang (172 keluarga) di empat pusat pemindahan di Pasir Puteh, 26 orang (lima keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Machang dan 114 orang (28 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Bachok.
Beliau berkata walaupun keadaan cuaca cerah, jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas dan Tumpat adalah ramai berikutan air dari kawasan hulu Sungai Golok sedang mengalir ke kawasan berkenaan.
Kesemua pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai telah ditutup berikutan keadaan banjir pulih.
Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) namun menunjukkan trend penurunan setakat 12 tengah hari ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ift.tt/1lUz7IE.
Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.15m berbanding 10.17m pukul 8 pagi tadi.
Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah mencatatkan bacaan menurun 14.09m berbanding 14.38m pagi tadi (paras bahaya 16m) manakala sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal. — Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW