KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia Marcell enggan mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya yang lain terjun dalam bidang politik kerana tidak mendapat restu isteri.
Tidak seperti Ahmad Dhani dan Pasha Ungu, penyanyi Semusim ini bimbang penyertaannya sebagai ahli politik mampu meruntuhkan rumah tangganya yang dibina dengan aktres dan model Rima Melati Adams sejak 2009.
“Isteri memang sama sekali tidak bersetuju walaupun beberapa pihak cuba melamar saya menyertai kancah politik sebelum ini,” katanya seperti dilapor Kosmo!.
“Percaya atau tidak, isteri juga sanggup berpisah berbanding melihat saya menjadi wakil rakyat di sana.
“Atas kata sepakat, ada baiknya saya kekal fokus terhadap bidang muzik semata-mata.”
Marcell sebelum ini pernah berkahwin dengan penulis dan penyanyi Dewi Lestari dan dikurniakan seorang anak.
Sudah 15 tahun bergelar anak seni, pemilik nama Marcell Kirana Hamonangan Siahaan berkata dirinya tidak selesa dibandingkan dengan artis baru yang meningkat naik.
Sebaliknya beliau menganggap generasi pelapis baru sebagai pencetus inspirasi untuk berkarya dengan lebih baik.
“Salah satu kunci kejayaan ialah sentiasa jujur dalam berkarya.
“Saya juga tidak berdepan masalah untuk menjalin kerjasama dengan pemuzik baru kerana idea mereka yang lebih segar dan mengagumkan,” katanya dilapor akhbar itu lagi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW