JAKARTA – Indonesia mahu memperkenalkan dasar yang lebih ketat terhadap bank-bank yang dilantik untuk mengendalikan instrumen hutang negara itu, agar lebih bertanggungjawab semasa membuat laporan pasaran dengan tidak merendahkan-rendahkan reputasi negara berkenaan.
Hasrat itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Indonesia menamatkan hubungannya dengan bank Amerika Syarikat (AS), J.P. Morgan Chase & Co. (JP Morgan) kerana mendakwa bank tersebut memberi penarafan yang rendah terhadap Indonesia.
Menurut Kementerian Kewangan Indonesia kepada The Wall Street Journal pada Sabtu lalu, perbincangan untuk melaksanakan dasar akan dibuat hari ini membabitkan 19 buah institusi kewangan yang bertindak sebagai pedagang bon-bon kerajaan Indonesia
Jelas Pengarah Portfolio Hutang dan Strategi kementerian itu, Schneider Siahaan, dasar baharu itu bertujuan memastikan bank-bank tidak mengeluarkan laporan yang boleh menjejaskan pasaran selain membezakan laporan untuk edaran dalaman dan kepada orang ramai.
“Asasnya, langkah tersebut mahu mengurangkan nada-nada dan kesan-kesan negatif,” katanya.
Langkah itu bermula apabila JP Morgan menurunkan penarafan Indonesia termasuk menjangka pasaran bon negara itu tidak menentu susulan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS pada November lalu. Selain Indonesia, bank AS itu turut menurunkan nilai pasaran Brazil dan Turki.
Pegawai-pegawai Kewangan Indonesia menyifatkan laporan tersebut tidak mempunyai kredibiliti serta boleh menjejaskan sistem kewangan negara berkenaan. Berikutan itu, kerajaan Indonesia memutuskan hubungannya dengan JP Morgan termasuk mengeluarkan bank itu daripada senarai pedagang bon-bon kerajaan. – AGENSI
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW