loading...

Hampir 20,000 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Terengganu, Kelantan

KUALA TERENGGANU — Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus mencatat peningkatan mendadak pagi ini kepada 10,734 orang berbanding hanya 4,352 orang setakat 9 malam tadi.

 

Jumlah pusat pemindahan juga semakin bertambah kepada 124 lokasi yang menempatkan 3,161 keluarga ketika ini berbanding hanya 77 pusat pemindahan sebelum ini.

 

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir, daerah Besut terus mencatat kenaikan tertinggi jumlah mangsa iaitu seramai 4,152 orang (1,147 keluarga) di 51 pusat pemindahan berbanding 1,476 mangsa (361 keluarga) di 23 pusat pemindahan malam tadi.

 

Selain Besut, daerah Hulu Terengganu juga terus mencatat kenaikan mendadak iaitu 3,610 orang (1,109) keluarga di 34 pusat pemindahan berbanding 9 malam tadi hanya 1,845 orang (576 keluarga) di 24 pusat pemindahan.

 

Menurut portal itu, tiga daerah lain turut merekodkan kenaikan jumlah mangsa iaitu Kemaman seramai 894 orang diikuti Setiu (1,597) dan Dungun (451).

 

Bagaimanapun jumlah mangsa di Marang kekal tidak berubah seperti awal pagi semalam iaitu 30 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

 

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai di empat daerah kini telah melepasi paras bahaya.

 

Menurut portal itu, Sungai Besut telah mencatat kenaikan di dua lokasi iaitu di Kampung La setinggi 22.22 meter (m) melepasi paras bahaya 21.80m dan di Jambatan Jerteh setinggi 9.78m berbanding paras bahaya 8.90m.

 

Dua sungai di Setiu juga mencatat kenaikan paras air iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok setinggi 8.52m melepasi paras bahaya 8.40m dan Sungai Nerus di Kampung Langkap iaitu 23.38m berbanding paras bahaya 21.50m.

 

Dua lagi sungai ialah di Hulu Terengganu iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan kenaikan setinggi 21.50m melepasi paras bahaya 20m dan Sungai Berang di Kampung Menerong iaitu 24.61m melepasi paras bahaya 24.50m.

 

Di Dungun, Sungai Dungun turut merekodkan kenaikan paras air di dua lokasi iaitu di Kuala Jengai setinggi 22.83m melepasi paras bahaya 21m dan di Jambatan Jerangau setinggi 12.91m melepasi paras bahaya 12.50m.

 

Sementara itu di Kota Baru, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,640 orang daripada 2,808 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 6,110 orang daripada 1,950 orang malam tadi.

 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata jajahan Pasir Mas mempunyai mangsa paling ramai iaitu 4,545 orang daripada 1,790 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

 

Seramai 1,451 orang (350 keluarga) ditempatkan di 11 pusat pemindahan di Kuala Krai, 926 orang (235 keluarga) di 11 pusat pemindahan di Machang, 682 orang (170 keluarga) di enam pusat pemindahan di Kota Bharu dan 638 orang (156 keluarga) di 17 pusat pemindahan di Tanah Merah.

 

Sebanyak 107 orang (27 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok, 217 orang (58 keluarga) di empat pusat pemindahan di Pasir Puteh, 45 orang (11 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Tumpat dan 29 orang (11 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Jeli, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Zainuddin berkata hujan kadangkala lebat yang masih berterusan selain air sungai dari kawasan hulu mengalir ke hilir, dijangka akan meningkatkan lagi jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan terutama di Pasir Mas.

 

Dalam pada itu, paras air di dua sungai utama di Kelantan menurun namun masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ift.tt/1lUz7IE.

 

Dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 17.65 meter (m) berbanding 17.96m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.39m berbanding 10.45m malam tadi (paras bahaya 9m).

 

Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai juga mencatatkan penurunan pada paras 22.84m berbanding 23.79m malam tadi (paras bahaya 25m).

 

Paras air Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula susut kepada 29.67m berbanding 31.99m malam tadi (paras bahaya 35m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pula surut kepada 32.26m berbanding 33.73m malam tadi (paras bahaya 38m). — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...