loading...

SPAD Gantung Lesen Syarikat Bas Ekspres Terlibat Nahas Ragut 14 Nyawa

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung serta-merta lesen pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan 14 nyawa di Muar, awal pagi semalam.

 

SPAD dalam satu kenyataan semalam berkata, semua bas di bawah kendalian Goldstar Express (M) Sdn Bhd juga tidak dibenarkan beroperasi sementara menunggu siasatan selesai.

 

“Keselamatan penumpang adalah keutamaan dan di bawah syarat Lesen Pengendali SPAD, semua pengusaha pengangkutan awam darat dikehendaki mendukung standard tertinggi dalam mengendalikan kenderaan mereka,” katanya.

 

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengetuai pasukan penyiasat yang turut disertai pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala SPAD menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran syarat keselamatan.

 

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu, 14 maut manakala 16 lagi cedera apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu terjunam ke dalam cerun sedalam 10m di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

 

Empat belas mangsa korban itu terdiri daripada 12 warga tempatan (4 lelaki dan 8 perempuan) serta 2 wanita warga Singapura.

 

Enam daripada 16 mangsa cedera adalah warga Singapura dengan 2 lagi warga Myanmar.

 

SPAD turut memberi amaran kepada pengusaha bas ekspres lain mengenai “kuasa penuh undang-undang” jika mereka didapati melanggar peraturan keselamatan.

 

“Suruhanjaya tidak akan teragak-agak membatalkan lesen dan permit pengendali yang didapati melanggar syarat keselamatan mandatori di bawah syarat lesen pengendali.” – Fmt



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...