loading...

S P Setia Berhad Cari Punca Jejambat Runtuh

KUALA LUMPUR – S P Setia Berhad akan mencari punca insiden jejambat pejalan kaki dekat Mid Valley Megamall, di sini, runtuh, Rabu lalu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen, dalam kenyataan hari ini berkata, keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan memastikan perunding serta kontraktor projek itu mematuhi standard tertinggi keselamatan sepanjang pembinaan.

 

“Kerja pembinaan jejambat itu bermula pada Oktober tahun lalu dan struktur utama siap pada awal Ogos tahun ini. Kerja pembinaan disasarkan untuk siap menjelang akhir bulan ini,” katanya.

 

Beliau berkata, pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berada di tapak projek, hari ini untuk menjalankan pemeriksaan. Dalam kejadian itu, seorang pekerja warga Vietnam berusia 21 tahun maut, manakala lima lagi cedera.

 

Jejambat pejalan kaki sepanjang 70 meter yang dalam pembinaan merentasi Sungai Klang itu akan menghubungkan KL Eco City dengan pusat beli-belah Mid Valley.

 

Susulan insiden itu, Ketua Pengarah DOSH, Datuk Mohtar Musri mengeluarkan arahan henti kerja kepada pemaju projek. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...