WASHINGTON – Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan memberikan amaran kepada bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (gambar) agar tidak membubarkan perjanjian nuklear Iran, lapor agensi berita Xinhua.
Dalam kenyataan terbuka kepada Perbadanan Penyiaran British kelmarin Brennan berkata, Trump akan berdepan akibat buruk jika mensabotaj perjanjian nuklear dengan Teheran.
“Tindakan ini akan menghidupkan semula program senjata nuklear Iran dan mendorong perlumbaan senjata pemusnah itu di rantau Asia Barat,” kata Brennan.
Bos CIA itu mengeluarkan amaran tersebut selepas Trump, 70, memilih untuk mencalonkan Leftenan Jeneral Michael Flynn bagi jawatan penasihat keselamatan negara dan anggota Kongres, Mike Pompeo sebagai Pengarah CIA yang baharu.
Kedua-dua calon tersebut menentang keras perjanjian nuklear dengan Iran.
Trump sendiri berulang kali mengkritik perjanjian tersebut. Beliau menyifatkannya sebagai perjanjian paling teruk pernah dimeterai.
Iran dan enam kuasa dunia iaitu AS, Britain, China, Rusia, Perancis dan Jerman memeterai perjanjian menamatkan program nuklear Iran pada Julai 2015 sekali gus mengakhiri sekatan ketat antarabangsa ke atas Teheran. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW