loading...

Percikan Air Pada Soket Elektrik Punca Kebakaran Kali Kedua HSA

JOHOR BHARU – Kebakaran kedua yang dilaporkan pada Rabu di Hospital Sultanah Aminah berpunca akibat percikan api yang tercetus selepas soket di dewan bedah terkena air.

 

Insiden yang menyebabkan kepulan asap di dewan bedah itu memaksa kakitangan dan pesakit dipindahkan.

 

Kakitangan di hospital itu berjaya menghalang api daripada merebak.

 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata polis terpaksa menutup bahagian tertentu di bangunan utama sejak Selasa apabila kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) meragut enam nyawa.

 

“Percikan api berlaku kira-kira 1.50 petang apabila air dari kerja pembersihan di aras dua terkena soket di bilik bedah yang terletak di aras satu.

 

“Percikan itu menyebabkan asap keluar tetapi tiada kecederaan dilaporkan akibat tindakan pantas kakitangan hospital terbabit,” katanya kepada pemberita.

 

Sulaiman berkata dewan bedah tersebut dalam proses pengubahsuaian.

 

“Kami menutup bangunan utama selama 24 jam atas sebab-sebab keselamatan,” katanya.

 

Kebanyakan kakitangan hospital yang memakai pakaian seragam biru dilihat bergegas keluar meninggalkan wad kecemasan dan trauma bersama pesakit.

 

Menurut seorang sukarelawan, asap dilihat keluar dari dewan bedah yang terletak di aras satu bangunan tersebut.

 

Sebuah jentera bomba dilihat memasuki perkarangan hospital.

 

Kakitangan hospital, pesakit dan orang ramai diminta untuk mengosongkan kawasan tersebut. – mstar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...