loading...

Wanita Malaysia Bawa Dadah Dalam Botol Mineral Ditahan Di Indonesia

JAKARTA – Polis Indonesia berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menggunakan air dalam botol mineral.

 

Modus operandi sindiket itu terbongkar apabila pihak berkuasa menahan 5 anggota sindiket terbabit termasuk seorang wanita warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 13 dan 14 Oktober lepas.

 

Media dalam talian hari ini memetik Timbalan Ketua Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Risnanto sebagai berkata pihak kastam di lapangan terbang pada mulanya menahan seorang wanita rakyat Malaysia pada 13 Oktober lepas apabila mendapati dia dalam keadaan mencurigakan.

 

Katanya, setelah membuat pemeriksaan bagasi milik wanita itu, pihak kastam merampas 2 botol air mineral yang dikemaskan dalam sebuah kotak dan hasil ujian terhadap air itu mendapati ia mengandungi 3.160kg metamfetamin.

 

Susulan penahanan wanita Malaysia itu, keesokan harinya, polis dan kastam menahan 2 lagi wanita rakyat Indonesia yang baru mendarat dari Hong Kong di lapangan terbang sama serta merampas 12 botol mineral yang juga dikemaskan dalam bentuk kotak sama.

 

Hasil ujian mendapati air dalam 12 botol mineral itu mengandungi cairan metamfetamin seberat 18.9kg.

 

Setiap botol air mineral dirampas itu berukuran 1.5 liter dan jika semua 14 botol cairan metamfetamin itu dipanaskan ia berubah menjadi serbuk syabu seberat lebih 22kg.

 

Risnanto berkata ekoran penangkapan itu, polis kemudiannya menahan 2 lagi anggota sindiket iaitu seorang rakyat Pakistan dan seorang rakyat tempatan yang berperanan sebagai penerima dan pengendali barang di lapangan terbang itu.

 

Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Undang-undang Dadah yang membawa hukuman mati.

 

Pada Jumaat lepas, 2 lelaki rakyat Malaysia iaitu seorang pelajar universiti, 22, dan seorang pegawai sukan, 36, ditahan di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali setelah didapati membawa lebih 100 biji pelbagai dadah jenis sintetik dan lebih 70 gram ganja.

 

Kerajaan Indonesia kini memerangi habis-habisan pengedaran dadah setelah Presiden Joko Widodo mengisytiharkan Indonesia sebagai darurat dadah. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...