GELANG PATAH – Mereka menjadi kaya sekelip mata selepas tanah mereka diambil untuk pembinaan terminal kontena termaju di Malaysia.
Namun keluarga dari dua perkampungan nelayan di sini kini berdepan saat sukar.
Dua dekad lalu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengambil alih perkampungan di Tanjung Pelepas dan Tanjung Adang untuk pembangunan terminal dengan memperolehi tanah seluas 1,416.4 hektar yang dianggarkan bersaiz sebuah padang bola.
Kedua-dua perkampungan mempunyai seramai 1,500 penduduk yang terdiri daripada 400 keluarga.
Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan dan menjalankan aktiviti bercucuk tanam.
Kesemua keluarga itu menerima pampasan antara RM400,000 dan RM600,000.
Kebanyakan mereka membelanjakan wang itu untuk membeli kereta mewah manakala segelintir daripadanya menggunakan wang tersebut untuk keluarga dan rakan-rakan.
Malah, ada juga di antara mereka melaburkan wang itu dengan menyertai skim cepat kaya dan peraduan gores dan menang yang berunsur penipuan.
Namun, sejak dua tahun lalu, PTP mula mengeluarkan notis pengusiran terhadap 60 keluarga yang merupakan antara 400 isi rumah yang berpindah ke kawasan perumahan baharu dikenali sebagai Desa Payang Mengkuang.
Kawasan penempatan baharu itu terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi mereka tinggal sebelum ini.
Keluarga terbabit belum membayar rumah tersebut yang dijual kepada mereka oleh PTP dengan harga kos.
Seorang suri rumah Orang Asli berusia 72 tahun dari Kampung Tanjung Pelepas yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Long antara mereka yang hilang segala-galanya selepas suaminya melabur semua wang pampasan dalam sektor peladangan dan pembukaan sebuah stesen minyak di Indonesia yang tidak lagi beroperasi selepas beberapa bulan.
“Kami menerima pampasan kira-kira RM548,000 untuk 0.8 hektar tanah (tanah kurnia) pada 1996 yang digunakan mendiang suami saya untuk membeli lot tanah di Indonesia dan pelaburan untuk membina sebuah stesen minyak.
“Jadi apabila pegawai pelabuhan memberitahu bahawa kami perlu membayar RM45,000 untuk rumah itu selama enam tahun selepas menerima bayaran pampasan, kami tidak mampu membayarnya,” kata Mak Long.
Mak Long yang menerima dua notis pengusiran sejak dua tahun lalu bimbang dia akan hilang tempat untuk berteduh.
Tambahan pula, tiga daripada sembilan anaknya masih tinggal bersama ibu tunggal itu.
Mak Laong mengakui wujud salah faham dengan PTP apabila ramai penduduk kampung menganggap ia adalah pertukaran ‘rumah untuk rumah’ di mana mereka menyangka mendapat rumah baharu sebagai balasan kepada tempat tinggal lama mereka yang telah diambil.
“Saya cadangkan kepada syarikat itu bahawa saya boleh membayar RM200 sebulan tetapi mereka menegaskan supaya kami membuat pinjaman bank yang kami rasakan tidak adil kerana ia hanya akan berakhir dengan kami membayar lebih banyak kerana kadar faedah yang tinggi,” dakwanya.
Seorang anggota Rela, Shamsuddin Abd Hamid, 60, berkata dia tinggal bersama ibu mertuanya apabila mereka menerima pampasan sebanyak RM200,000.
“Pada 2002, walaupun kami tidak mampu membayar rumah tersebut, seorang pegawai menyerahkan kunci untuk unit kami berserta RM1,000 untuk bayaran penempatan semua, memaklumkan kami supaya berpindah segera.
“Isu itu timbul semula. Saya menerima dua notis pengusiran, satu pada tahun lalu dan satu notis lagi tiga bulan lalu. Ke mana harus kami pergi sekarang,” soalnya.
Ketika dihubungi, PTP enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi berkata perkara itu sedang diteliti dan PTP telah mengeluarkan beberapa notis kepada penduduk yang masih belum membuat pembayaran untuk rumah tersebut.
“Difahamkan, notis mahkamah turut dikeluarkan kepada penduduk di kawasan itu kerana tidak membuat bayaran dan ada segelintir mereka menyewa rumah tersebut kepada orang lain,” katanya. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW