loading...

Lelaki Bunuh Abang Kekasih Didakwa Di Mahkamah

KUALA TERENGGANU – Lelaki yang membunuh abang kekasihnya selepas rahsia status perkahwinan terbongkar 16 Oktober lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

 

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir, di sini, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di kawasan parkir Kompleks Seri Iman, di sini, jam 11.30 pagi pada 16 Oktober lalu.

 

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

 

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

Tertuduh juga tidak ditawarkan sebarang jaminan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad, manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi 16 Oktober lalu, suspek menikam sampai mati abang teman wanitanya yang juga seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di parkir Kompleks Darul Iman di sini, selepas status perkahwinannya terbongkar apabila keluarga kekasihnya membuat pemeriksaan di pejabat agama di sini. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...