loading...

Isu Pecat Tak Berbangkit Buat Masa Ini

Kerajaan ada pada hari ini, kata Tan Sri Annuar Musa, bukanlah yang hanya ingin menutup mulut pengkritik dan hanya mahu mendengar khabar yang baik-baik saja.

 

Kata ketua penerangan Umno itu beliau sendiri suka melihat kerajaan dikritik asalkan kena pada tempatnya.

 

Justeru kata Annuar Umno berpendapat setakat ini tidak berbangkit isu parti itu mahu memecat Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kerana membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat.

 

“Selagi beliau berucap pada tempatnya, gunakan haknya sebagai ahli parlimen dan asalkan niatnya baik.

 

“Saya suka lihat kerajaan dikritik, tak mengapa. Kita bukannya kerajaan yang nak tutup mulut orang dan kena cakap yang baik-baik saja,” katanya dilaporkan Sinar Harian hari ini.

 

Annuar bercakap kepada media selepas menghadiri program bersama ahli akar umbi Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

 

Semasa membahaskan belanjawan 2017 di parlimen baru-baru ini Ahmad Husni menyentuh kewajaran kerajaan menubuhkan syarikat pelaburan 1MDB yang kini didakwa sedang menanggung hutang yang besar.

 

Beliau turut bertanya mengapa tindakan tidak diambil ke atas beberapa pihak yang terlibat dalam pengurusan 1MDB.

 

Bagaimanapun Annuar berkata soalan yang dibangkitkan Ahmad Husni itu sudah dijawab anggota parlimen Tambun itu sendiri ketika beliau masih lagi berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua.

 

Ahmad Husni meletak jawatan daripada kerajaan dan parti pada 27 Jun lalu, iaitu pada hari sama Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan kabinetnya.

 

Tempat Ahmad Husni kini diisi anggota parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

 

Semalam seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjangkakan Umno bakal memecat Ahmad Husni kerana membangkitkan isu 1MDB.

 

Bekas ketua penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata langkah itu akan diambik kerana parti berkenaan mahu mengelakkan ada lagi pemimpin lain bertanya tentang 1MDB.

 

Kata Annuar beliau sendiri ada menghubungi Ahmad Husni bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung ucapannya di Dewan Rakyat itu.

 

“Saya keliru apabila beliau tanya kenapa 1MDB ditubuhkan. Sedangkan beliau sendiri yang jawab soalan itu tahun lalu.

 

“Beliau telah beri penjelasan kepada saya tetapi tidak sama dengan ucapan beliau di parlimen. Mungkin cara beliau berkomunikasi tidak cukup efektif,” katanya.-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...