Oleh: Azman Hussin
ANDA mungkin akan menuduh saya pengecut dan tidak ada semangat untuk mempertahan kerajaan tatkala diserang oleh pelbagai pihak apabila saya tidak bersetuju dengan Baju Merah.
Saya tidak akan peduli, kalau itu hanya kerana saya mahu berterus-terang menyatakan pendirian yang saya yakini. Saya bukan populis yang menulis mengikut trend dan emosi semasa orang ramai. Biarlah dikutuk sekarang daripada dikutuk di hari kemudian.
Saudara, saya tidak bersetuju dengan Baju Merah bukan bermakna saya menyokong Baju Kuning.
Sebelum saya pergi lebih jauh, cuba anda bertanya pada diri sendiri, kenapa perhimpunan Baju Kuning diadakan? Apakah agenda tersirat mereka selain tuntutan-tuntutan tersurat mereka?
Tidakkah anda terfikir, apabila sistem demokrasi gagal untuk menukar pemerintah, maka demonstrasi adalah antara jalan terakhir untuk menggulingkan pemerintah? Ia adalah satu cara untuk menimbulkan kekecohan, huru-hara, dan seterusnya anarki yang akan dijadikan alasan oleh kuasa-kuasa asing untuk mencampuri urusan negara ini.
Anda patut tahu apa akan terjadi sekiranya kuasa-kuasa asing mulai mencampuri urusan negara ini tanpa perlu saya jelaskan di sini.
Sepatutnya anda juga faham apabila anda mengambil kaedah sendiri menentang Baju Kuning, apa yang sepatutnya dilakukan pihak berkuasa, anda sebenarnya telah mengalihkan laluan negara menuju anarki?
Anda kemudian boleh berhujah kepada saya, “tiada kuning, maka tiada merah” untuk menghalalkan tindakan anda itu.
Tetapi, cuba fikirkan maksud di sebalik kata-kata anda itu sendiri: “tiada kuning tiada merah”.
Apakah pengertiannya?
Bukankah itu bermaksud kewujudan Baju Merah adalah kejayaan Baju Kuning?
Anda tidak faham?
Anda sebenarnya adalah mangsa yang diubah oleh keadaan, dan bukannya yang mengubah keadaan. Dalam ayat yang mudah, anda diperlakukan supaya marah, dan anda pun menjadi marah. Itu sahaja. Dan anda patut malu jika anda memahami realiti ini.
Saya boleh sahaja katakan dengan bahasa kasar bahawa anda telah terpedaya dengan permainan musuh, tetapi anda tidak akan faham perkara ini kerana anda yakin bahawa tindakan anda adalah suci dan mulia, iaitu untuk mempertahan dan menjaga keamanan negara.
Mari saya tunjukkan lagi beberapa perkara kepada anda.
Anda menyatakan Baju Kuning mahu menumbangkan kerajaan melalui demonstrasi, tetapi tidakkah anda sedar bahawa apabila anda mengambil tindakan sendiri untuk menghalangnya, ia adalah kejayaan awal kepada matlamat Baju Kuning. Anda telah menolong menjayakan matlamat mereka dengan turut menyertai permainan mereka melalui Baju Merah.
Kerajaan tidak akan berjaya ditumbangkan secara revolusi jika tiada pertempuran, dan pertempuran pula tidak akan berlaku jika tiada pihak lawan. Selama ini tiada pertempuran kerana pihak berkuasa hanya ditugaskan untuk mengawal dan menyuraikan perhimpunan supaya tidak menjadi huru-hara dan anarki.
Ya, tiada perlawanan jika tiada penyertaan. Tetapi sekarang, anda telah menyertai permainan ini.
Tidakkah anda mampu melihat permainan silap mata ini?
Saya jelaskan sekali lagi, apabila anda turut turun ke jalanan, ia bermaksud anda sendiri telah mengiktiraf demonstrasi sebagai kaedah untuk berpolitik. Ia adalah kemenangan moral kepada lawan anda. Ia juga bermaksud anda kembali kepada hukum rimba, siapa kuat dialah pemenang.
Saudara, Perhimpunan baju kuning akan memasuki kali ke-5. Ia gagal berkali-kali sebelum ini. Kenapa ia gagal? Anda tahu tujuan tersembunyi demonstrasi di kebanyakan negara adalah mencetuskan huru-hara, pertumpahan darah dan keadaan darurat, walaupun ia dikatakan untuk menyampaikan atau menuntut sesuatu perkara.
Tanpa huru-hara, matlamat mereka tidak akan tercapai. Tanpa baju Merah, misi Baju Kuning adalah sukar tercapai.
Baiklah, anda boleh terus menyalahkan Baju Kuning yang memulakan semua ini. Tetapi, apa gunanya tuding-menuding ini kalau negara sudah berantakan. Anda ingat lagi lagu Bangau Oh Bangau? Tindakan anda kali ini adalah seumpama menyanyikan semula lagu tradisional itu dalam rentak moden.BERSIH
Lagi pula, apakah maksud sebenar anda turun ke jalanan untuk menghalang Baju Kuning? Adakah ia sekadar kata-kata retorik? Menghalang? Bagaimana anda mahu menghalang Baju kuning dalam maksud yang sebenar?
Akal saya tidak mampu memahami bagaimana atau apa yang anda maksudkan dengan ayat menghalang Baju Kuning?
Berpijaklah di bumi nyata. Jangan sekadar mengucap kata-kata retorik. Anda boleh mendakwa apa saja atas tindakan anda, tetapi persoalannya, apakah jenis tindakan anda itu.
Anda boleh katakan yang anda tidak bermaksud untuk bertempur dengan Baju Kuning. Saya tahu perkara itu, tetapi apa yang anda lakukan itu menjerumuskan ke arah itu. Ia seperti terjun ke dalam kolam lumpur, dan anda mengharapkan anda tidak terkena kotoran.
Sekiranya kumpulan anda diprovok, misalnya dengan kata-kata kesat atau dibaling batu, adakah anda akan mendiamkan diri? Jika anda dapat menahan diri, adakah anda dapat menjamin kumpulan anda yang lain juga dapat bertahan seperti itu?
Baiklah, katakanlah anda dapat mengawalnya.
Bagaimana pula jika dalam kalangan anda itu disusupi oleh pihak musuh yang sengaja mahu mencetuskan pertempuran di antara dua pihak ini?
Anda tahu jawapannya, bukan? Ia adalah kecelakaan.
Tidakkah anda mahu berfikir, jika berlaku pertembungan antara anda dan Baju Kuning, akan berlaku pergaduhan yang tidak mustahil membawa kepada korban kematian, yang boleh menyebabkan anarki dan bakal menjatuhkan kerajaan yang anda mahu pertahankan itu? Akhirnya pemerintah juga yang akan dipersalahkan kerana gagal mengawal keadaan ini.
Misalnya, pemerintah akan diputarbelitkan sebagai sengaja mencetuskan rusuhan melalui Baju Merah, kerana kononnya pihak pemerintah sudah mengetahui mereka akan kalah dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Jadi, anda sudah nampak?
Ia bukan lagi dapat menghalang, malah ia akan mencipta masalah demi masalah baru.
Anda boleh berhujah pada saya lagi, kalau begitu, apakah perhimpunan Baju Kuning itu harus dibiarkan?
Ia bukan soal kita harus membiarkan ataupun melawannya. Isunya, adakah dengan kewujudan Baju Merah, kita dapat menghalangnya.
Anda beralih pula mempersoalkan pihak berkuasa yang membiarkan Baju Kuning bermaharajalela mengadakan perhimpunan sehingga akan memasuki siri ke-5. Anda menyalahkan pihak berkuasa yang kononnya lemah dan tidak tegas.
Adakah anda seperti orang bodoh yang berfikiran cetek bahawa untuk menyelesaikan masalah Baju Kuning adalah dengan menangkap tokoh-tokoh penganjurnya? Adakah ia semudah itu?
Ia semudah itu jika negara ini adalah sebuah pulau asing dan terpisah daripada dunia luar. Hakikatnya negara ini tidaklah begitu. Apabila kerajaan melakukan tangkapan sewenang-wenangnya seperti itu, dunia luar pasti akan memberi tekanan kepada negara ini dari segi ekonomi, diplomatik dan sebagainya. Apatah lagi jika Baju Kuning adalah agenda kuasa-kuasa asing untuk mencatur negara ini.
Tidakkah anda sedar bahawa dakwaan itu seperti anda adalah orang bodoh yang cuba masuk campur dalam perkara yang tidak diketahuinya. Anda hanya melihat secara luaran kemudian cuba menjadi hakim. Anda tidak berada di tempat di mana pihak berkuasa berada. Logikkah pihak polis mampu membasmi perhimpunan ini? Adalah tidak munasabah untuk melakukannya. Tugas polis dalam hal ini adalah menyuraikan perhimpunan dan meminimakan kerosakan serta mencegah dan menangkap sesiapa yang cuba melakukan huru-hara.
Maka, sebenarnya polis telah berjaya selama ini melakukan peranan mereka. Tugas menghapuskan perhimpunan ini bukanlah di bahu polis, sebagaimana tugas sebenar polis adalah mencegah dan menangkap aktiviti jenayah untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Menghapuskan jenayah adalah berkaitan kesedaran setiap individu.
Siapa yang menang dalam pertempuran itu tidaklah penting kerana ia tetap kekalahan kepada orang-orang Melayu. Dan siapa yang bersalah dalam hal ini tidak ada gunanya lagi. Menang jadi arang kalah jadi abu, kata pepatah Melayu. Semuanya sia-sia.
Percayalah, apabila anda masuk ke dalam permainan ini, anda tidak akan boleh keluar lagi. Anda akan kehilangan punca. Pertentangan ini akan berterusan tahun demi tahun sehingga ia mencapai puncaknya, iaitu huru-hara dan darurat.
Akhirnya, tujuan anda, yang kononnya mahu membantu pihak berkuasa itu, sebaliknya hanya akan menyusahkan lagi pihak berkuasa. Ia seperti perilaku tikus membaiki labu. Anda tentu tahu hasilnya, bukan?
Kerana itu saya katakan, jangan campakkan diri ke dalam fitnah demonstrasi ini.
Saya faham apa yang anda rasakan, memendam perasaan marah kepada baju kuning yang mencabar undang-undang negara dalam perhimpunan-perhimpunan mereka sebelum ini. Anda mahu menunjukkan kepada mereka bahawa pemerintah juga masih mempunyai sokongan yang kuat. Tetapi, tahukah anda itu hanyalah reaksi emosi semata-mata, bukan berasaskan akal rasional.
Anda boleh menyalahkan baju kuning yang memulakannya. Tetapi saudara, ini bukan persoalannya. Tidak penting di sini siapa benar siapa salah. Jika negara huru-hara, apakah ia baik untuk kita? Anda bergaduh dengan saudara sendiri di dalam rumah sendiri. Kerosakannya akan ditanggung oleh anda.
Seandainya anda naik ke atas, melangkaui semua ini, melihat dari puncak, anda mungkin akan faham. Sama ada Baju Kuning atau Baju Merah, anda telah dieksploitasi tanpa sedar untuk menjalankan kerja-kerja musuh anda dalam mengatur negara ini.
Anda patut sedar, sebahagian besar Baju Kuning juga adalah orang-orang yang keliru dan diperdayakan. Mereka telah tertipu dengan retorik-retorik politik bahawa mereka berjuang untuk kebaikan diri dan negara mereka, sebagaimana anda sendiri juga diperdayakan sedemikian, walhal anda semua hanyalah dijadikan bidak-bidak di papan catur.
Anda akan katakan Baju Kuning ditaja oleh pihak asing seperti George Soros, dan kita mesti melawannya. Saya mungkin bersetuju, tetapi ini tidak akan menjadikan saya membuta-tuli bertindak.
Pada masa dahulu Karl Marx menulis bukunya, Das Capital, ditaja oleh satu pihak, dan pada masa yang sama pihak tersebut juga menaja Karl Richter menulis antithesis kepada buku tersebut. Apakah yang dimahukan pihak ini?
Ya, supaya ada pertentangan dan perlawanan. Anda pun tahu sistem kapitalis dan komunis suatu masa dahulu ditaja oleh pihak yang sama agar dunia terus berkonflik.
Saya tidak maksudkan Baju Merah juga ditaja, tetapi tindakbalas Baju Merah adalah kemahuan pihak yang menaja Baju Kuning. Maksudnya, Baju Merah adalah lahir secara percuma tanpa perlu ditaja, cukup dibangkitkan emosinya.
Anda nampak apa yang saya sedihkan?
Dalam keadaan ini, mahu tidak mahu, anda mesti menerima hakikat bahawa secara tidak sedar, sama seperti Baju Kuning, anda semua telah dimanipulasikan oleh tangan-tangan ghaib ini untuk berjuang bagi pihak mereka. Anda telah dijadikan balatentera untuk bertelagah sesama sendiri menghancurkan negara anda.
Apa-apapun, permainan telah bermula. Dahulu gambar-gambar aksi ganas pendemo Baju Kuning menimbulkan kebencian orang ramai kepada mereka, hari ini fungsinya sudah berbeza. Kali ini, apabila gambar-gambar tersebut dimainkan semula, ia tidak lebih daripada berfungsi membakar sentimen marah penyokong kerajaan agar bertindak melawan pendemo Baju Kuning jika mereka bertembung di jalanan kelak.
Pada akhirnya, anda sebenarnya telah berjuang untuk pihak lain yang sedang mencatur anda. Anda mungkin menang sebagai arang dan lawan anda kalah sebagai abu, atau sebaliknya. Anda bersorak meraikan kemenangan anda, tetapi anda lupa bahawa bukan ayam laga anda yang menang bersabung. Maksudnya hasil perlawanan ini dinikmati oleh pihak lain yang sedang mencatur anda
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW