loading...

1MDB Tiada Kaitan Dengan Bajet 2017, Dakwa Menteri

KUALA LUMPUR – 1MDB tidak disebut dalam Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober dan dalam Laporan Ekonomi 2017, yang memberikan gambaran keseluruhan mengenai kemajuan ekonomi negara, kerana ia adalah dua perkara yang berasingan.

 

Dalam penjelasannya, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata, bajet kerajaan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB, yang diuruskan oleh lembaga pengarahnya.

 

“Bajet adalah bajet, 1MDB adalah 1MDB, ianya dua perkara yang berasingan.

 

“Bajet adalah sesuatu yang kita bentangkan kepada orang ramai untuk menjelaskan apa yang kerajaan akan lakukan – bagaimana hendak membelanjakan wang dengan pendapatan. Bajet tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB. Sila beritahu saya bahagian mana yang berkaitan,” katanya kepada Malaysiakini.

 

“Tetapi adalah salah untuk mengatakan bahawa kita tidak menangani (masalah) 1MDB,” katanya.

 

“Melupuskan sebahagian aset untuk membayar bil-bil dan mencari rakan usaha sama untuk membangunkan tanah adalah antara rasionalisasi (pelan pengurusan hutang 1MDB),” jelasnya.

 

Menyelesaikan pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) Abu Dhabi juga merupakan salah satu strategi kerajaan dalam menangani isu itu, tambahnya.

 

Kerajaan, tegasnya, telah menunjukkan sikap keterbukaannya apabila ia mengarahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengadakan satu pendengaran mengenai 1MDB.

 

Selain itu, tambahnya, kerajaan membenarkan pihak berkuasa luar negara untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan yang berkenaan dan memfailkan tindakan undang-undang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan 1MDB.

 

Pada amalannya, kata Johari, kerajaan hanya akan membawa perkara itu kepada perhatian Parlimen apabila masalah timbul.

 

Memetik Malaysia Airline System (MAS) sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan untuk MAS dalam rombakan operasinya dan memberitahu Dewan Rakyat mengenainya.

 

“Tetapi apabila MAS tidak ada masalah, kita tidak beritahu Parlimen,” katanya.

 

Ahli Parlimen DAP Tony Pua telah membangkitkan isu defisit yang meningkat di kalangan perbadanan awam bukan kewangan (NFPCs) dalam satu kenyataannya pada hari Ahad.

 

Beliau berkata defisit perbelanjaan tersebut adalah RM10.6 bilion pada tahun 2013, tetapi dianggarkan mencecah RM50.5 bilion tahun ini.

 

Pua telah mendakwa bahawa sama ada 1MDB atau projek-projek yang dijalankan oleh anak-anak syarikatnya, pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 30 NFPC dalam laporan ekonomi sebelum ini, dan hanya dikurangkan kepada 29 NFPC dalam Laporan Ekonomi 2014/2015.

 

Pua kemudian mendakwa defisit itu boleh menjadi lebih tinggi sekiranya kerajaan memasukkan 1MDB atau anak-anak syarikatnya sebagai salah satu NFPC.

 

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan perlu memasukkan 1MDB untuk mencerminkan lebih baik mengenai prestasi syarikat berkaitan kerajaan ((GLC).

 

Pua membuat dakwaan itu berdasarkan Laporan Ekonomi 2012/2013, yang menyatakan NFPC terlibat dalam projek-projek, antaranya, pembangunan bercampur di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX), akan memberi impak besar ke atas pertumbuhan ekonomi serta mengubah fizikal, kewangan dan landskap digital Malaysia pada masa akan datang.

 

Laporan ekonomi sebelumnya, bagaimanapun tidak menyenaraikan semua 30 syarikat itu.

 

Johari menjelaskan bahawa 1MDB tidak pernah dimasukkan sebagai salah satu daripada NFPC dalam laporan ekonomi sebelumnya.

 

“Mengapa 1MDB bukan salah satu daripada 29 atau 30 NFPC? Kerana NFPC ditakrifkan sebagai syarikat yang beroperasi. Tetapi jika anda adalah sebuah syarikat pelaburan, maka anda tidak termasuk,” kata beliau sambil menambah Khazanah tidak ada dalam senarai itu atas sebab yang sama.

 

Beliau berkata anak syarikat boleh disenaraikan sebagai NFPC dalam laporan ekonomi jika sekurang-kurangnya 50 peratus daripada ekuiti syarikat beroperasi itu, dimiliki oleh kerajaan dan mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM100 juta.

 

Johari, bagaimanapun tidak bersetuju bahawa kedudukan kewangan syarikat kerajaan boleh ditakrifkan dengan hanya melihat pada defisitnya.

 

“Saya rasa pengiraan itu adalah salah. Anda tidak boleh mengira defisit dengan cara ini. Anda hanya akan mempunyai defisit apabila kedua-dua kunci kira-kira (balance sheet) dan dana pemegang saham adalah negatif,” katanya.

 

“Tetapi jika dana pemegang saham mereka adalah positif, yang bermakna mereka mempunyai ‘corresponding asset’. maka anda tidak boleh memanggilnya defisit,” katanya.

 
“29 syarikat yang disenaraikan adalah syarikat-syarikat yang tegap, mereka membayar cukai korporat dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Mereka mempunyai liabiliti tetapi pada masa yang sama, mereka mempunyai aset.

 

“Mereka tidak mengalami defisit, mereka mempunyai liabiliti dan ‘corresponding asset’; (tetapi) anda tidak boleh lihat pada liabiliti tanpa melihat pada aset,” katanya.-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...