loading...

Saudi Tahan 14 Anggota Daesh

RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi menggempur dua sarang pengganas serta menahan 14 individu termasuk empat rakyat asing yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh dalam serbuan di beberapa buah wilayah di negara ini.

 

Jurucakap Menteri Dalam Negeri, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki berkata, kesemua suspek ditahan kerana merancang melakukan serangan keganasan termasuk cubaan menyerang Stadium Al-Jawhara di Jeddah ketika perlawanan bola sepak antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Oktober lalu.

 

Menurutnya, dalam serbuan di bandar Shaqraa di sini, pasukan keselamatan Saudi membongkar sarang militan Daesh dan memberkas empat rakyat tempatan.

 

“Kesemua suspek merancang melakukan serangan ke atas anggota keselamatan dan mendapat arahan secara langsung berhubung operasi mereka daripada pemimpin Daesh di Syria,” katanya sebagaimana lapor Arab News.

 

Mansour berkata, empat yang ditahan itu adalah Ahmad Mohammed; Abdullah Obaid; Abdulaziz Fai­sal dan Mujahid Rashid.

 

Berikutan serbuan itu jelas­nya, pihak berkuasa Arab Saudi turut menahan enam lagi suspek kerana mempunyai kaitan dengan anggota Daesh dan siasatan ke atas kesemua individu tersebut masih dijalankan.

 

Beliau pada masa sama menjelaskan, pihak berkuasa pada 9 Oktober lalu mendapat maklumat tentang rancangan Daesh melancarkan serangan di Stadium Al-Jawhara, Jeddah pada 11 Oktober menggunakan sebuah kereta yang sarat bahan letupan dan diletakkan di kawasan parkir stadium.

 

“Sehubungan itu, kami meng­giatkan usaha mengesan individu terlibat sehingga membawa kepada penahanan empat suspek rakyat asing, sehari sebelum perlawanan bola berlangsung,” katanya.

 

Mereka adalah dua warga Pakistan iaitu Saliman Arab Deen dan Farman Allah Nagsh­bund Khan, selain warga Syria, Hassan Abdulkareem Haj Mohammed dan Abdulazeem Al-Taher Abdullah Ibrahim (Sudan).

 

Sementara itu Mansour berkata, susulan siasatan berteru­san mengenai ranca­ngan keganasan oleh militan Daesh, pihak berkuasa kini sedang mengesan sembilan orang suspek yang dipercayai terbabit merancang keganasan di Arab Saudi.

 

Mereka adalah lapan warga tempatan iaitu Jaafar Hassan Makki Al-Mubaireek, Fadel Abdullah Mohammed Al Hamada, Ali Bilal Saud Al Hamad, Mohammed Hussein Ali Al-Ammar, Maitham Ali Mohammed Al-Qudaihi, Mufeed Hamza Ali Al-Alwan, Majid Ali Abdulrahim Al-Faraj dan Ayman Ibrahim Hassan Al-Mukhtar selain Hassan Mahmoud Ali Abdullah dari Bahrain.

 

“Untuk itu, kementerian menggesa individu dikehendaki ini supaya menyerah diri kepada pihak berkuasa dan kami juga memberi amaran kepada orang ramai yang mengenali individu itu agar bekerjasama dengan pihak berkuasa atau mereka boleh disabitkan dengan kesalahan,” katanya.-Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...