SHAH ALAM – Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mendedahkan bahawa dia menerima gangguan ganjil yang menjejaskan kesihatan dan fokusnya sepanjang menyertai Gegar Vaganza musim ketiga.
Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, perkara itu membuatkan kesihatannya masih tidak pulih biarpun sudah tiga minggu mendapatkan rawatan perubatan.
“Sudah masuk tiga minggu sakit saya tidak pulih walhal setiap hari saya ke klinik ambil suntikan dan berubat. Tadi pun (malam Ahad) doktor datang untuk beri rawatan sebelum saya naik ke pentas.
“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dan ramai menasihatkan agar saya berubat tradisional sebagai salah satu ikhtiar untuk baik,” ujarnya kepada mStar Online.
Elly ditemui selepas program Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA di sini, malam Ahad.
Persembahan penyanyi itu yang membawakan laguPerawan Atau Janda mendapat markah kedua terbawah selepas penyanyi Rem yang tersingkir pada minggu ketiga.
Menurut Elly, dia juga menerima perkara yang agak pelik ketika di rumah membuatkan dia sentiasa berasa takut.
“Saya tidak boleh cerita banyak, cukuplah saya katakan akan berubat dengan rawatan Islam dengan harapan semuanya kembali seperti biasa,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi itu turut berasa sedih dan ralat apabila persembahannya pada minggu ini menghampakan peminat-peminatnya.
Kata Elly, perasaannya berkecamuk dan blur ketika di atas pentas membuatkan dia terlupa lirik lagu.
“Saya sedih kerana menghampakan peminat-peminat saya malam ini, suara saya sengau dan lupa beberapa lirik lagu tersebut kerana blur atas pentas tadi.
“Bagaimanapun, saya anggap rezeki masih berpihak kepada saya kerana terselamat pada malam ini. Insya-Allah doakan saya sihat dan boleh melakukan persembahan terbaik minggu depan,” ujarnya. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW