loading...

Vida Beauty Tak Jadi Batal, Hanya Tangguh Penajaan TRW 2017

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan penaja utama Kelantan, Vida Beauty Sdn Bhd mencapai persetujuan untuk menangguhkan sementara penajaan pada saingan Liga Malaysia musim hadapan sekali gus tidak timbul soal membatalkan tajaan.

 

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu diputuskan menerusi rundingan yang dibuat bersama Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Vida baru-baru ini.

 

“Saya sudah mengadakan pertemuan dan Datuk Seri Vida dibenarkan untuk tangguh penajaan, bukannya membatalkan. Kita buat satu kaedah yang menyaksikan kontrak itu mengikat untuk tahun 2017, namun selepas berbincang dan memahami beliau mahu konsolidasi perniagaan beliau dan ada masalah perlu diatasi, jadi kita bersetuju menangguh.

 

“Semua obligasi terpakai cuma penguatkuasaan 2017 tidak dilaksanakan. Kemungkinan Dr Vida boleh menyambung penajaan dengan syarat sama pada 2018 atau 2019,” katanya ketika ditemui pada Program Bubur Asyura di Dataran Warisan Kok Lanas, di sini.

 

Annuar berkata, keputusan itu dibuat bagi mengekalkan hubungan baik dengan syarikat penaja yang dianggap penting selain mengelak sebarang konflik atau perbalahan yang tidak menguntungkan.

 

“Walaupun keputusan itu bakal menambahkan kesulitan kepada kita, namun ia perlu ditangani sebaik mungkin. Pada masa sama, kita sedang mempertimbang beberapa penaja lain untuk menggantikan Pamoga Qu Puteh musim hadapan,” katanya.

 

Akhbar sebelum ini melaporkan, Annuar mengesahkan penaja utama Kelantan, Vida Beauty Sdn Bhd menyuarakan hasrat untuk tidak menaja skuad itu musim depan.

 

Justeru, Annuar menjelaskan isu terbabit akan dibincangkan bersama barisan pengurusan persatuan itu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

 

Berdasarkan perjanjian asal, Vida Beauty Sdn Bhd yang juga pengeluar produk Pamoga Qu Puteh itu masih mempunyai kontrak tajaan setahun lagi bersama pasukan Kelantan. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...