JOHOR BAHRU – Sehari selepas kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah yang mengorbankan enam mangsa, hari ini satu lagi kebakaran dikesan berlaku di hospital yang sama, lapor portal BH.
Kebakaran kali kedua ini dipercayai berlaku bilik pembedahan HSA sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.
Asap kebakaran dilihat keluar dari tingkat satu bangunan hospital.
Sebuah jentera bomba dilaporkan sudah berada di lokasi, namun setakat ini belum ada sebarang laporan rasmi berhubung insiden terbaru itu.
BH juga melaporkan beberapa petugas HSA membawa keluar pesakit bagi mengosongkan bangunan.
Dalam kebakaran di ICU hospital itu semalam enam pesakit mati rentung di atas katil mereka selepas gagal diselamatkan.
Tiga orang kakitangan HSA termasuk seorang pelatih juga dilaporkan mengalami kecederaan.
Punca kebakaran semalam masih dalam siasatan namun terdapat spekulasi di media sosial mengaitkan kebakaran itu dengan letupan pengecas telefon yang menyebabkan tilam pesakit terbakar sebelum merebak ke bahagian lain. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW