JOHOR BAHRU – Kebakaran yang mengorbankan 6 nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini dipercayai bermula di bilik rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum merebak ke seluruh unit berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kebakaran dipercayai sukar dikawal kerana kehadiran alat bantuan pernafasan mengandungi gas oksigen yang digunakan pesakit di wad ICU, menyebabkan api merebak terlalu cepat.
“Usaha menyelamat kesemua pesakit dilakukan. Namun disebabkan api merebak terlalu cepat, ada staf yang bertugas mengalami kesukaran bernafas dan pengsan disebabkan asap tebal,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan menunggu laporan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mengambil tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kenyataan mengenai kebakaran di tingkat 2 itu, beliau berkata kementerian akan menjalankan siasatan rapi bagi mengetahui punca sebenar tragedi itu dengan melantik sebuah jawatankuasa khas dianggotai agensi berkaitan dan pakar-pakar.
“Kami dimaklumkan keadaan api yang merebak dengan cepat dan kepulan asap tebal menyukarkan usaha menyelamat,” kata menteri itu.
Enam yang terkorban dalam kebakaran yang berlaku sebelum 9 pagi hari ini merupakan pesakit di ICU. Pesakit ke-7 sempat diselamatkan.
Pada sidang media itu, Dr Subramaniam berharap semua waris dan anggota keluarga mangsa tabah dan diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
Pada masa sama, beliau mengarahkan kakitangan hospital supaya memberi apa juga bantuan diperlukan keluarga mangsa terlibat.
“Sebagai institusi yang menyediakan rawatan kepada pesakit, sudah tentu kami sangat bersedih dengan kejadian ini. Kami meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca kebakaran,” katanya.
Ditanya sama ada pemeriksaan prosedur keselamatan pernah dilakukan terhadap hospital itu, Dr Subramaniam berkata ia sentiasa dilakukan, malah di kementerian sendiri wujud skuad khas untuk memantau perkara berkenaan. – BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW