NEW YORK – Seorang wanita memfailkan saman terhadap JetBlue Airways kerana tertukar anak lelakinya yang berusia lima tahun dengan seorang budak lain.
Pertukaran tersebut telah menerbangkan budak itu ke bandar raya yang salah.
Dalam saman itu, Maribel Martinez menyatakan bahawa beliau menderita “ketegangan emosi, ketakutan, kebimbangan, kejutan mental, kemarahan dan trauma psikologi teruk” apabila mendapati budak itu tiada dalam penerbangan di Lapangan Terbang John F Kennedy pada 17 Ogos lalu.
Budak berkenaan, Andy Martinez, tersilap diletakkan dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Logan di Boston, bukannya ke John F Kennedy.
Menurut dokumen mahkamah, kakitangan JetBlue di Logan mengiringi Andy bertemu wanita yang tidak pernah ditemui sebelum ini dan memberitahu dia akan disatukan dengan ibunya.
Sementara budak lelaki yang sepatutnya dalam penerbangan ke Boston diletakkan di tempat Andy dan dibawa berjumpa Martinez.
JetBlue mengambil masa tiga jam untuk meneliti apa yang berlaku dan berusaha membolehkan ibu dan anak itu berhubung menerusi telefon, menurut tuntutan saman.
Kedua-dua budak itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Cibao di Republik Dominica. Identiti budak lelaki yang diterbangkan ke New York tidak didedahkan.
Saman menuntut ganti rugi tidak dinyatakan. Peguam Martinez, Sanford Rubenstein, berkata beliau berharap dapat menonjolkan amalan JetBlue dan mengelakkan kejadian serupa berulang lagi. – AP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW