loading...

Pistol Bukan Milik Saya – Safee Sali

JOHOR BAHRU – Penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) di sini semalam bagi memberi kete­rangan berhubung kes penemuan sepucuk pistol dalam kereta pacu­an empat roda (4WD) miliknya.

 

Safee tiba di IPD JBU pada pukul 2.30 petang dan selesai memberikan keterangan kira-kira sejam kemudian.

 

Beliau yang ditemui di pe­ka­rangan IPD itu berkata, kes tersebut masih disiasat pi­hak polis namun menafikan pis­tol itu adalah miliknya.

 

“Kereta itu memang milik saya tetapi barang kes (pistol) bukan kepunyaan saya.

 

Saya pun tidak mengenali lelaki tersebut (suspek),” katanya.

 

Polis menemukan sepucuk pistol bersama-sama 30 peluru hidup dalam kereta milik Safee semasa sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini pukul 12 tengah hari kelmarin.

 

Bagaimanapun semasa ditahan, kereta itu tidak dipandu Safee sebaliknya dipandu seorang pemilik kedai aksesori kenderaan.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. yang mengesahkan penemuan tersebut berkata, Safee sebelum ini menghantar kenderaannya itu ke kedai

suspek minggu lalu untuk diubah suai dan dijadualkan mengambilnya semula selepas perlawanan akhir Piala FA kelmarin.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 34 tahun itu kini direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

 

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian berhubung kes penemuan sepucuk pistol dan 30 butir peluru hidup dalam kereta Safee.

 

“Biarlah kita siasat dulu… Kereta itu pun bukan dia (Safee) yang bawa.

 

“Suspek pun kita dah tangkap jadi kita jangan terus buat andaian pistol itu milik pemain bola sepak dan sebagainya. Kita akan jalankan siasatan terperinci dan sesiapa yang bertanggungjawab terhadap senjata api itu akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima replika cek RM80,000 daripada Pengerusi DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil untuk penajaan alat pendingin hawa Surau Al-A’limin Maktab PDRM Cheras. – Utusan


Previous
Next Post »
loading...