loading...

Mat Sabu Calon Pakatan Harapan Di PRK Sungai Besar?

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu disebut-sebut dalam kalangan Pakatan Harapan sebagai calon yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Besar akan datang.

 

Pencalonan Bekas Timbalan Presiden PAS yang lebih sinonim dengan gelaran Mat Sabu itu ekoran beliau satu-satunya Presiden parti komponen Pakatan Harapan yang bukan terdiri dari Ahli Parlimen.

 

Justeru, selayaknya beliau akan dicalonkan bagi menyamaratakan jawatannya dalam kalangan pemimpin pembangkang selari dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

 

Mat Sabu walaubagaimanapun menjelaskan pemimpin pembangkang masih belum meletakkan calon bagi dua kawasan PRK (Sg Besar dan Kuala Kangsar) yang akan berlangsung bulan hadapan.

 

“PH (Pakatan Harapan) akan bersaing dengan sesiapa sahaja terutama BN dan sekutu BN.

 

“Kami dalam PH akan berusaha supaya tidak ada pertindihan calon seperti yang berlaku di Sarawak. Luar daripada PH kami tidak ada upaya untuk mengendalikan parti lain yang begitu banyak di Malaysia ini. Itu hak mereka.

 

“Tidak apa (jika ada saingan) tiga penjuru atau lima, ini pesta demokrasi, kita hormati. PH satu sahaja (calon). Tidak tahu lagi siapa akan jadi calon, mungkin bebas 13 orang, jadi kita tidak boleh menentukan,” katanya.

 

PRK Sg Besar dijangka berlangsung dengan pertandingan 3 penjuru antara Pakatan Harapan, BN dan PAS selepas parti Islam itu berkeras untuk meletakkan calonnya di kawasan tradisinya.

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan partinya sudah menetapkan calon bagi kedua-dua PRK tersebut. –mD

Previous
Next Post »
loading...