loading...

Mahathir Tunjuk Sifat Terkutuk Kata Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan sifat terkutuk beliau dalam keterlibatannya menerusi Deklarasi Rakyat.

 

Beliau menyatakan kekesalannya mengenai keterlibatan melampau pemimpin di dalam Deklarasi Rakyat sekali gus berpesan agar pimpinan Pakatan Harapan berhati- hati dengan muslihat yang didalangi Tun Mahathir dan Daim.

 

“Beliau (Tun Mahathir) terkenal dengan kecekalan, begitu tertumpu dengan agenda beliau yang sukar digugat. Ketakutan yang sentiasa menghantui diktator dan autokrat adalah pendedahan jenayah-jenayah yang dilakukan dan berbilion-bilion wang yang dicuri. Sifat ihsan dan berlapang dada terhadap Tun M tidak pernah dihargai. Bukan sahaja tidak menyesal, beliau menunjukkan sifat terkutuk dalam diri beliau dengan meneruskan serangan peribadi. Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.

 

“Malangnya, ini hanya akan meyakinkan beliau untuk tidak rasa bersalah terhadap kerosakan dan pembaziran yang berlaku ketika zaman beliau. Gayanya seperti telah beralih dari menafikan kepada menghapuskan kesalahan lampau! Azizah dan saya merasakan keperluan untuk membantah sebagai prinsip kami dan mempertahankan maruah. Kenyataan kami merujuk kepada pemerintahan autokratik, keperluan untuk wacana menyeluruh bukan seperti pendekatan diktator beliau,”katanya menerusi kenyataan dikongsikan daripada Facebook AMK Pulau Pinang yang mendakwa kenyataan tersebut merupakan tulisan Anwar dari Penjara Sungai Buloh.

 

Beliau berkata, permasalahan itu terkait dengan Deklarasi Rakyat yang turut mengheret pimpinan untuk bersekongkol dengan Tun M dan Daim.

 

“Pandangan saya mungkin bercanggah dengan pendirian majoriti pimpinan. Saya gusar kerana mengandaikan strategi tersebut agak terlanjur dan menggugat sendi nadi dan tunggak perjuangan. Kita perlu menghindari dari bahaya terjebak dengan permainan elit penguasa dan muslihat licik mereka untuk mengekalkan sistem usang,”katanya.

 

Menerusi kenyataan itu lagi, pertembungan idea tersebut mengusutkan dan perlu dirungkai tanpa mengundang perbalahan atau persengketaan peribadi.

 

“Kita juga tidak wajar mengungkit kebijaksanaan pimpinan menyertai dan menandatangani Deklarasi Rakyat (DR). Dalam beberapa warkah sebelumnya, saya terus menggesa pimpinan agar waspada dengan politik elit penguasa dan keperluan mempertahan dasar perjuangan. Persoalan sekarang adalah menentukan hala tuju seterusnya,”katanya.

 

Tambah kenyataannya lagi, beliau dikatakan lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok DR, iaitu dengan mula menetapkan jarak sekali gus memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang digalas selama ini.

 

“Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi. Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun M, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi.

 

“Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk

Seri Najib sebagai perdana menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!,”tulisnya.

 

Menurutnya, pimpinan dilihat seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani setelah pengunduran Najib. Ini mengingatkan kembali kepada komplot ‘penguasa elit’ yang diterangkan sebelum ini.

 

“Ia adalah secara jelas menguntungkan yang kaya dan yang berkuasa manakala rakyat akan terus dipinggirkan. Kita hanya baru sahaja terlibat dengan ‘akuan bersumpah – kemelut SD’. Jaminan yang sama diberikan secara tertutup. Dan dalam keterujaan atau keterdesakan untuk mengubah tampuk kepimpinan negara, kita berikan komitmen. Sekarang ia menjadi bahan sindiran dan memalukan, khususnya apabila Ku Li sendiri menafikan keterlibatan beliau dan menganggap rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal.

 

“Beliau licik mempergunakan SD ini untuk meletakkan diri beliau sebagai calon kompromi apabila berlaku pertembungan atau kebuntuan antara Zahid dan Hisham. Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat,”tulis kenyataan itu lagi.

 

 

Tambah Anwar dalam kenyataan itu, beliau menyarankan supaya pimpinan tidak terpedaya dengan menganggap kenyataan-kenyataan mengutuk kezaliman yang melampau ketika waktu pemerintah Tun M akan mampu mengajak untuk melakukan perubahan yang sistematik.

 

Jelasnya, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi.

 

“Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut. Seterusnya pimpinan NGO telah membuat pendirian yang tegas kepada Tun M; walaupun secara peribadi berbanding dengan Tun M yang sentiasa memberi pandangan secara terbuka. Selepas itu penjelasan dibuat bagi perkara yang tidak mempunyai apa-apa perubahan; iaitu majoriti ahli Parlimen akan menentukan calon perdana menteri yang baru.

 

“Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh. Berhati-hati dengan Machiavellians yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada kroninya.

 

“Kedua-dua Tun M dan Daim merupakan dalang dan begitu agresif mempertahankan kroni kapitalisme. Melalui proses yang tempang dan korup penjana bebas elektrik IPP dianugerahkan, projek lebuh raya diswastakan, barangan keperluan dimonopoli oleh kroni-kroni. Ianya amat jelas mempergunakan dan membebankan rakyat. Kerakusan ini tidak terhenti dengan pemerintahan mereka dan kesan kerosakannya masih dirasai sehingga kini,”jelasnya panjang lebar.

 

 

 

Sementara itu, dalam tulisannya turut menyebut untuk menuntut kebebasan, keadilan ekonomi, mengurangkan jurang kekayaan, melawan rasuah dan rampasan korporat dengan memperkukuhkan akar umbi parti.-SuaraTV

 

 

 

 

 


Previous
Next Post »
loading...