GEORGE TOWN — Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menafikan beliau mahu kerajaan negeri merobohkan tokong kecil di Taman Armenian di sini.
Beliau berkata kenyataannya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN Jumaat lepas itu sebaliknya telah disalah erti.
“Tiada niat kami untuk minta kerajaan negeri robohkan (mana-mana) kuil terutama yang sudah lama dibina… ada yang tuduh saya suruh roboh, tiada dalam hansard saya cakap suruh roboh,” katanya ketika ditemui pemberita di luar DUN di sini semalam.
Sebuah portal berita melaporkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai berkata tokong kecil di Taman Armenian yang dibina sejak 70 tahun lalu itu akan kekal sebagai sebahagian daripada taman dan tidak akan dirobohkan.
Lim berkata jika struktur pemujaan baru dibina dan tidak mendapat kebenaran, kerajaan negeri tiada masalah untuk merobohkannya.
Jahara berkata laporan berita itu menimbulkan pelbagai polemik dan interpretasi negatif terhadapnya kerana beliau dilihat seolah mahu tokong berkenaan dirobohkan.
Beliau berkata MCA negeri juga sudah terkeliru dan didakwa menuduh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar sebagai tidak sensitif terhadap masyarakat Cina kerana mahu merobohkan tokong itu.
“Saya bangkitkan (pada Jumaat) tentang pembinaan taman-taman awam, kerajaan negeri perlu ambil maklum, reka bentuk taman awam harus ambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama, tidak mahu ada apa-apa bentuk pemujaan atau sembahan diletakkan di taman-taman awam.
“Kita tidak ada masalah di situ (Taman Armenian), tak suruh roboh (tokong) atau jangan letak situ… cuma tempat sembahan ini tak boleh dimasukkan dalam reka bentuk taman, kena ada sudut khusus kerana takut dicemari keselamatannya.
“Tempat (tokong) itu perlu diurus dengan baik, ada tuan atau jawatankuasanya, kena daftar supaya boleh diurus dengan baik, itu maksud saya,” katanya. — Bernama