KUALA LUMPUR ― Sudah 72 jam berlalu selepas tempoh kata dua diberikan Search kepada anggotanya Yazit Ahmad agar menarik balik aduan polis berhubung isu pecah amanah.
Namun pemain dram itu, yang enggan mohon maaf dan membatalkan laporan polis itu, masih belum menerima apa-apa tindakan daripada kumpulan rock legenda tanah air.
Yazit, 54, diberi tempoh 48 jam hingga Jumaat selepas didakwa memburukkan Search, namun beliau bertegas dengan tuduhan pecah amanah wang pendahuluan konsert 35 tahun band itu.
“Sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan susulan daripada mereka, walaupun tempoh 48 jam sudah berlalu.
“Saya anggap apa yang mereka buat masa sidang akhbar itu [Rabu lalu] hanyalah untuk menggertak saya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.
“Saya dan peguam Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli masih menunggu, jika ada apa-apa perkara berbangkit daripada mereka.
“Setakat ini laporan polis saya terhadap anggota Search yang saya sifatkan pecah amanah itu masih diteruskan.”
Yazit bagaimanapun tidak meneruskan aduan polis, yang dirancang Khamis lalu, terhadap vokalisnya Amy yang mendakwa beliau (Yazit) memburukkan sekolah tahfiz miliknya di Shah Alam.
“Pada hari saya hendak pergi ke balai polis Wangsa Maju, saya difahamkan dia telah mengubah laporan,” katanya.
Pada 4 Mei lalu, Yazit mendakwa berlaku pecah amanah apabila beliau tidak menerima sebarang bayaran pendahuluan RM75,000 yang diberikan penganjur kepada Search.
Beliau juga mengakui sudah tawar hati untuk bekerjasama semula dengan Search walaupun beliau pengasas kumpulan itu.
Konsert Search 35 Tahun yang dijadual 30 Ogos di sini mungkin batal[a] jika ahli-ahlinya masih bercakaran dan enggan menyelesaikan masalah dalam masa terdekat, kata penganjur.
Ketua pegawai eksekutif AF Jets Amrul Mizar berkata satu mesyuarat khas diadakan minggu ini sebelum mengumumkan keputusan muktamad penganjur.
“Bermula dengan beberapa kali bertukar tarikh, kemudian bertukar lokasi, sekarang masalah sebegini pula,” katanya seperti laporan Mingguan Malaysia.
Syarikat sewaan pesawat itu semakin tawar hati untuk meneruskan konsert kerana sudah melaburkan jumlah wang yang banyak tetapi Search kini mengalami kontroversi, katanya.
“Kami sudah menghabiskan sebanyak RM125,000 untuk membayar deposit kepada bukan sahaja anggota Search, tetapi juga krew yang lain.
“Walau bagaimanapun keadaan semakin tidak bagus apabila pertelagahan pula yang menjadi perhatian orang ketika ini, berbanding cerita konsert itu sendiri.
“Ini membuatkan pihak kami selaku penganjur benar-benar terkilan dengan apa yang terjadi ketika ini,” kata Amrul lagi seperti dilaporkan. – MalayMail