KUALA LUMPUR — Pemenang rancangan hiburan komedi “Juara Parodi” berhajat untuk memberikan bahagian hadiah wang tunai yang sepatutnya diterima arwah Yus Jambu kepada rumah kebajikan.
Ahli kumpulan Kobis Pedas, Misha Omar berkata, sebahagian wang itu akan diberikan kepada badan kebajikan atau rumah anak-anak yatim yang sebelum ini pernah mendapat sumbangan daripada Yus sebaik sahaja proses penyerahan diperoleh daripada pihak penganjur.
“Kami sangat bersyukur sebab seperti yang kalian tahu, kemenangan ini didedikasikan kepada Allahyarham Pak Yus. Memang ini untuk dia,” kata penyanyi popular itu dipetik laporan Kosmo! hari ini.
Kobis Pedas semasa pentas final Juara Parodi Jumaat lalu diumumkan sebagai pemenang utama dengan menerima wang tunai RM300,000 dan trofi, serta memenangi Anugerah Pilihan Penonton dengan hadiah wang tunai RM25,000.
Tempat kedua dimenangi Abang Face (Syuk, Sam dan Joey), diikuti Juri (Hattan dan Ajak), Selambur Blur (Shuib dan Mark Adam) dan Righthanded (Fad dan Abam Bocey, Waris).
Seorang lagi ahli kumpulan Kobis Pedas, Tauke Jambu berkata timbul persolan sama ada kemenangan mereka itu atas dasar prestsi persembahan atau simpati.
“Saya cuma mahu tahu, adakah kemenangan ini sebab memang Kobis Pedas layak atau sebenarnya ia perasaan simpati terhadap pemergian arwah?
“Kalau disebabkan simpati saya tidak kisah sebab kemenangan ini memang untuk dia, bukan untuk kami.
“Apa sahaja yang kami lakukan sehingga berjaya membawa diri ke pentas akhir semuanya kerana Pak Yus sebab Juara Parodi adalah program terakhir arwah semasa hayatnya,” katanya.
Yus, atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo, 39, pada 30 November lalu disahkan di Hospital Selayang, di sini akibat serangan jantung.
Juara “Raja Lawak” musim pertama kelahiran Perlis itu mengalami sesak nafas di dalam kereta ketika perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjayakan program “Raja Band” di Dataran Merdeka. – MalayMail