loading...

Mukhriz Desak Kumpulan Pemberontak Mohon Maaf Pada Istana

ALOR SETAR : Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz mendesak kumpulan pemberontak yang ingin menjatuhkan beliau sebagai MB Kedah memohon maaf pada istana kerana tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab kerana melakukan provokasi ketika Sultan Kedah menyambut hari keputeraan baginda yang ke 88.

 

“Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.”katanya.

 

Beliau mendakwa desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan rakyat Kedah sehingga mencemarkan sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Kedah.

 

“Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

 

“Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. ” ujarnya.

 

tambahnya lagi, beliau menerima khabar bahawa Sultan Kedah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan tindakan kumpulan itu.

 

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.”katanya lagi.

 

Dalam pada itu, beliau juga turut menyuarakan permohonan ampun kepada Sultan Kedah kerana tindakan segelintir ahli UMNO yang telah mencemar majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah dan mendesak kumpulan tersebut memohon maaf juga.

 

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

 

“Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.”

Previous
Next Post »
loading...