loading...

MB Kedah Baru Dijangka Angkat Sumpah Esok?

ALOR SETAR – Beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Menteri Besar Kedah baharu dijangka akan mengangkat sumpah esok dan upacara adat istiadat berkemungkinan besar akan berlangsung di Istana Anak Bukit.

 

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam majlis tersebut telah diminta bersiap sedia untuk majlis tersebut.

 

“Saya dengar persiapan sudah mula diadakan dan dikatakan raptai majlis itu akan diadakan esok.

 

“Saya boleh kata, lebih 80 peratus kemungkinan majlis itu diadakan pada Khamis ini,” kata sumber itu kepada akhbar tempatan.

 

Sementara itu, satu lagi sumber memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kebiasaannya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada setiap Rabu.

 

“Kita jangka ada sesuatu yang akan diputuskan esok (hari ini) dan majlis angkat sumpah itu akan diadakan dalam masa terdekat iaitu selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.

 

Sementara itu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pagi ini.

 

Terdahulu, laporan beberapa akhbar semalam  melaporkan Kedah bakal mendapat Menteri Besar Ke-12 selewat-lewatnya Rabu atau lusa ekoran prosedur pelantikan menggantikan Mukhriz dikatakan giat disusun oleh mereka yang terlibat.

 

Sebelum ini portal Pro-BN MYKMU  melaporkan Kedah bakal mendapat Menteri Besar Ke-12 minggu ini  apabila 20 daripada 21 Adun Kedah dari BN bersetuju dan akur untuk menerima sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz.

 

Suasana politik di Kedah ‘panas’ sejak kebelakangan ini apabila barisan‎ kepimpinan Umno Kedah secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. – Sinar

Previous
Next Post »
loading...