KUALA LUMPUR – Pengawasan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong dan orang awam dipertingkatkan susulan penyebaran rakaman video ugutan membalas dendam oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) yang bertajuk ‘Mesej Awam Kepada Malaysia’ kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, walaupun pihak polis berjaya mengawal keadaan namun kawalan secara berterusan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kita telah meningkatkan pengawasan di kawasan seperti lapangan terbang, pusat hiburan dan pusat pengangkutan utama, terutamanya di dalam kawasan ibu negara.
“Kumpulan militan IS lebih suka melakukan jenayah ini dalam kumpulan yang kecil, justeru agak sukar untuk kita mengesan mereka, namun hasil kecekapan pihak polis kita berjaya menahan individu yang terlibat,” katanya selepas berucap dalam Persidangan Pendekatan Strategik Malaysia 2016, di sini semalam.
Menerusi rakaman video yang disiarkan dalam bahasa Melayu itu, unit militan IS Malaysia-Indonesia yang dipanggil Katibah Nusantara mengancam untuk membalas dendam berikutan penangkapan ahli-ahlinya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki di dalam video berkenaan telah dikenal pasti rakyat Malaysia yang kini berada di Syria dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurut Nur Jazlan lagi, walaupun Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menyekat penyebaran video tersebut namun pihaknya telah melaksanakan pemantauan di laman sosial supaya orang ramai tidak terpengaruh video tersebut.
“Yang penting adalah kita pantau siapa yang melihat video ini dan siapa yang hantar. Kita tidak mahu rakyat terpengaruh sehingga terjebak dalam kumpulan militan dan ekstremis.
“Selalunya orang yang mengisytiharkan itu tidak akan buat (serangan), tetapi kita takut orang lain yang akan buat. Orang yang lain inilah yang kita mahu tangkap. Mereka cuma mahu menakutkan rakyat Malaysia sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kumpulan militan IS bukanlah terdiri daripada orang alim atau ulama sebaliknya hanyalah individu yang inginkan jalan pintas untuk ke syurga.
“Apa yang mereka lakukan ini hanyalah jenayah. Kebanyakan mereka yang terlibat bukanlah individu yang kuat agama,” jelasnya. – UTUSAN