loading...

Vida Jumpa Kontraktor Perhalusi Cat Stadium

KOTA BHARU – Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan memperhalusi kerja mengecat warna merah jambu di Stadium Sultan Muhammad IV termasuk laluan masuk dan trek balapan menerusi pertemuan tertutup dengan kontraktor Impian Berkat Trading di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, pertemuan itu membolehkannya melihat sendiri sampel merah jambu yang sudah ditempah oleh kontraktor cat dilantik Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), selain berbincang secara langsung mengenai rekaan sebenar stadium keramat itu.

 

“Saya mahu bincang secara bersemuka dengan kontraktor cat berkenaan supaya mereka ikut rekaan yang sudah ditetapkannya termasuk laluan masuk dan trek balapan.

 

“Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai cat yang sudah ditempah mereka kerana belum melihat sendiri walaupun kontraktor itu mendakwa warna yang mereka dapatkan hampir menyamai apa yang saya mahukan.

 

“Saya kesal kerana mereka tidak berbincang atau menghantar sampel cat berkenaan terlebih dulu kepada saya sebelum melakukan tempahan.

 

“Pertemuan secara tertutup itu akan diadakan petang esok (hari ini) di Kuala Lumpur bagi membincangkan secara terperinci mengenai wajah baharu Stadium Sultan Muhammad IV seperti mana diharapkan,” katanya ketika dihubungi.

 

BH Sukan sebelum ini melaporkan sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan bagi mengubah wajah Stadium Sultan Muhammad IV, termasuk mengecatnya dengan warna merah jambu.

 

Stadium berkenaan akan dijadikan sebagai mercu tanda baharu pelancongan di negeri ini apabila bukan saja dicat warna merah jambu, malah mempunyai rekaan tersendiri dengan dihiasi lampu yang berwarna sama.

 

Mengulas lanjut, Dr Vida berkata jika warna cat yang sudah ditempah itu tidak sama dengan warna yang dikehendaki, beliau akan pertimbangkan dan mungkin terpaksa akur dengan warna berkenaan kerana sudah kesuntukan masa.

 

Katanya, beliau difahamkan, pihak kontraktor sudah pun menempah 200 tong atau 8,000 liter cat daripada Kelang, Selangor yang dianggarkan berjumlah RM100,000.

 

“Warna merah jambu pilihan saya itu lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur dengan merah muda,” katanya. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...