loading...

Riak Atau Tidak, Bukan Urusan Netizen Menghukum – Che Ta

“DUIT saya, biarlah anak-anak saya rasa bahagian mereka. Awak nak dengki kenapa?” Itulah pertanyaan yang diajukan jelitawan Rozita Che Wan, 43 atau lebih dikenali sebagai Che Ta kepada para netizen yang mengata bukan-bukan terhadap anak-anaknya.

 

Baru-baru ini ketika bercuti selama 22 hari ke negara-negara Eropah, dua anak lelakinya, Ammar Effendy, 20, dan Aniq Ezzra, 18, telah memuat naik gambar mereka membeli-belah di laman sosial, sekali gus mengundang pelbagai persepsi yang rata-ratanya berbaur negatif.

 

Ditemui ketika majlis pelancaran rancangan televisyen Teh Tarik Che Ta terbitan RTM, pelakon siri Kak Marr itu menegaskan, pengikut laman sosial anak-anaknya tidak perlu mempertikaikan kemewahan yang dikecapi Ammar dan Aniq kerana itu adalah hak mereka.

 

Menurut Che Ta, dia telah bekerja keras memahat namanya sebagai anak seni sehingga berada pada tahap sekarang. Jadi, apa salahnya hasil penat jerihnya mengumpul duit dan kekayaan disalurkan kepada darah dagingnya?

 

“Sejak menceburkan diri dalam lapangan ini, memang niat saya untuk kumpul duit atau harta banyak-banyak demi masa depan yang lebih terjamin. Jadi, semestinya saya perlu berusaha, kerja rajin-rajin, barulah dapat penuhi keinginan saya itu.

 

“Dan pada tahap ini apabila semua itu dah dicapai, sudah pasti mereka sebagai anak-anak saya ada bahagian yang boleh mereka rasai, nikmati. Takkanlah saya nak bolot untuk diri sendiri,” katanya membela dan mempertahankan tindakan anak-anaknya.

 

Tambah Che Ta lagi, mereka bukan menunjuk-nunjuk kemewahan yang dikecapi, cuma menjadi remaja sama seperti rakan sebaya mereka memuat naik aktiviti yang sedang dilakukan ke laman sosial.

 

“Yang penting mereka tidak hipokrit. Mereka menunjukkan aktiviti yang sedang dilakukan untuk dikongsi di laman Instagram. Budak-budak lain pun sama seperti mereka, akan memuat naik apa sahaja yang ingin dikongsi. Riak atau tidak, bukan kerja manusia untuk menghukum kami,” ujarnya lagi membentak.

 

Lagipun katanya, dia bukan sewenang-wenangnya memberi kemewahan kepada anak-anak, tetapi perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan, samalah seperti kebanyakan cara ibu bapa lain mendidik anak mereka.

 

Jika anak-anak mahukan sesuatu, mereka perlu belajar rajin-rajin, bersusah payah terlebih dahulu sebelum mendapat habuan. Kalau berjaya memperoleh keputusan akademik yang memuaskan, barulah dapat ganjaran.

 

“Saya percaya, ibu bapa lain pun buat cara yang sama. Jadi, tidak timbul sebarang isu saya terlalu memanjakan mereka,” jelasnya.

 

Hanya sekali pakai

 

DEK statusnya selaku peragawati, pastinya Che Ta tidak pernah gagal dalam bergaya. Malah, sejak mengenakan tudung, isteri kepada Zain Saidin itu semakin anggun menggayakan bermacam-macam stail sehingga dilabel ikon fesyen tempatan.

 

Maka tidak hairanlah, dengan kemampuan yang dimilikinya, Che Ta sanggup berhabis beribu-ribu ringgit memastikan penampilannya dijaga baik, sama ada secara luaran mahupun dalaman.

 

“Setiap hari saya akan memakai pakaian baharu. Amat jarang sekali saya mengulang pakai pakaian yang sama kecuali yang betul-betul saya suka. Itu pun dua tiga kali saja, lepas tu terus simpan.

 

“Sebab itulah saya terpaksa menyewa sebuah rumah bagi menempatkan pakaian-pakaian lama kerana terlalu banyak. Terutama pakaian ketika sebelum mengenakan tudung dulu, lagilah berlambak,” jelasnya.

 

Menurut Che Ta, tabiatnya yang tidak suka mengulang pakai pakaian lebih daripada sekali disebabkan peminat yang pernah menegur melihatnya menggayakan fesyen sama.

 

“Teguran itu membuatkan saya kurang selesa dan sebab itulah saya tidak lagi mengulang pakai pakaian yang pernah dipakai,” jujurnya memberitahu.

 

Disebabkan lambakan pakaiannya yang tidak digunakan lagi, Che Ta memberitahu, anaknya Ammar telah membantunya menyelesaikan masalah tersebut dengan mewujudkan kedai atas talian di bawah label @prelovedbyRCW.

 

Sudah lama memikirkan untuk menjual koleksi pakaian peribadinya, tetapi Che Ta tidak berkesempatan untuk menguruskan bisnes berkenaan.

 

“Mujurlah ada anak-anak yang membantu menjual pakaian dan aksesori yang sudah tidak mahu diguna secara maya. Walaupun baru dua bulan lebih beroperasi, sambutan amat menggalakkan sehingga mencecah hasil jualan RM40,000.

 

“Di akaun Instagram 
@prelovedbyRCW, peminat-peminat boleh melihat sendiri gambar setiap helai pakaian berserta harga. Semua maklumat ada dimuat naik dan dikongsi di situ. Syukurlah, kebanyakannya menjadi rebutan, apatah lagi saya menjualnya dengan harga amat murah, kurang 50 peratus daripada harga asal,” tutur Che Ta. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...