loading...

Tarikh Mengundi PRN Sarawak Hanya Cadangan – Adenan

SIBU – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menjelaskan bahawa beliau hanya memberi cadangan supaya pilihan raya negeri (PRN) di Sarawak diadakan pada 30 April.

 

Adenan berkata beliau tidak membuat ketetapan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai dua tarikh yang telah dicadangkannya pada Jumaat, iaitu 18 April untuk penamaan calon dan pengundian pada 30 April.

 

“Ia hanya satu cadangan yang saya buat pada mesyuarat rasmi dengan beberapa anggota PBB. Saya tidak menetapkan kepada SPR kerana saya tahu itu hak mereka, bukan saya, selepas pembubaran DUN dan mereka akan mengumumkan bila hari penamaan calon dan pilihan raya perlu dijalankan.

 

“Saya harap perkara ini jelas,” katanya.

 

Pada malam Jumaat, ketika majlis pelancaran seminar pilihan raya kecil kawasan Satok, Adenan membuat kejutan apabila mengumumkan 18 April sebagai hari penamaan calon dan 30 April sebagai hari mengundi bagi PRN akan datang yang dijangka dilakukan pada Jun tahun ini.

 

Katanya, beliau telah mencadangkan tarikh-tarikh ini semasa mesyuarat dengan SPR.

 

Adenan juga mengambil maklum kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menyatakan bahawa beliau (Adenan) telah menetapkan satu masa, supaya dia (Chong) hilang kelayakan untuk bertanding berikutan kes mahkamahnya berhubung perhimpunan haram Bersih 4.

 

Chong, yang juga Adun Kota Sentosa, didakwa pada Disember 2015 kerana menyertai perhimpunan Bersih 4. Jika sabit kesalahan, dia akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

 

Chong berkata dalam Facebook: “Seperti yang saya katakan sebelum ini, ada kemungkinan bahawa perbicaraan perhimpunan haram Bersih 4 terhadap saya selesai pada bulan April, yang mungkin akan menghilangkan kelayakan saya daripada bertanding sebagai calon. Ini mungkin sebabnya mengapa pilihan raya tidak diadakan pada Mac yang merupakan tarikh spekulasi sebelum ini.”

 

Ketika menyangkal ini, Adenan berkata cadangan masa untuk pilihan raya itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan perbicaraan mahkamah Chong. – mstar

Previous
Next Post »
loading...