PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyangkal dakwaan kononnya badan itu dalam diam telah membekukan pinjaman MARA.
Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua tajaan dan pinjaman MARA terhadap pelajar berjalan seperti biasa berdasarkan bajet yang telah diluluskan.
“Siapakah yang mereka-reka poster seperti ini? Apa tujuannya mencipta ‘caption dan quote’ yang tak pernah di ungkap oleh sesiapa.
“Pada dasarnya semua tajaan dan pinjaman MARA berjalan seperti biasa dengan jumlah bajet yang telah di luluskan. Walaupun tak mungkin MARA dapat meluluskan semua permohonan,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada Selasa.
Annuar tampil membuat penafian tersebut, bagi menjawab dakwaan sekumpulan anak muda yang menuntut pihak MARA memberi penjelasan berhubung dakwaan pembekuan pinjaman oleh badan itu.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau sedar masalah dihadapi para pelajar terutamanya bagi mereka yang menyambung pengajian di luar negara.
Jelasnya pihak MARA sentiasa berusaha untuk membantu dan memastikan nasib para pelajar terbela.
“MARA sedang berusaha memperluaskan lagi skim dengan mencari dana tambahan,” katanya. – FMT