loading...

7 Warga Filipina Ditahan Miliki Kad Pengenalan Palsu

MELAKA – Tujuh warga Filipina, masing-masing empat wanita dan tiga lelaki ditahan dalam Ops ID di dua lokasi berasingan, di Tangga Batu dan Kampung Gelam di Sungai Udang, dekat sini, awal pagi tadi.

 

Mereka berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun itu ditahan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana disyaki memiliki kad pengenalan diri palsu.

 

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman, berkata semua suspek ditahan susulan risikan agensi berkenaan selama dua minggu selain aduan orang awam membabitkan masalah kebanjiran warga asing di kawasan mereka.

 

“Semua yang ditahan kerana masing-masing memiliki tiga kad pengenalan diri MyKad, tiga kad pengenalan sementara dan salinan MyKad yang disyaki kesemuanya palsu.

 

“Kita turut menjumpai sejumlah kad pengenalan diri milik orang lain sebanyak lima keping juga disyaki palsu dan satu kad pengenalan diri bermutu tinggi ketika serbuan di sebuah rumah di Tangga Batu,” katanya kepada pemberita di lokasi, di Sungai Udang, di sini, pagi tadi.

 

Norazle berkata, pihaknya turut menjumpai beberapa dompet dan beg tangan dipercayai bukan milik warga asing berkenaan dan mengesyaki ia barang hasil jenayah ragut di premis berkenaan.

 

“Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan terperinci terhadap penghuni rumah di Tangga Batu ini yang disyaki mungkin juga terbabit dengan kegiatan sindiket membuat kad pengenalan palsu kerana terlampau banyak.

 

“Ini berikutan, kita mengesan kad pengenalan sementara tidak mengikut spesifikasi seperti yang asal iaitu berwarna hijau dan dokumen yang ditemui pula berwarna putih, mempunyai logo Kementerian Dalam Negeri (KDN), sijil pengiktirafan ISO, dan cop rasmi pegawai pendaftaran,” katanya.

 

Katanya, semua suspek dihantar ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini untuk disiasat dan direman sehingga Khamis bermula hari ini.

 

Mereka yang ditahan boleh dihukum mengikut peraturan berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda RM20,000.

 

Operasi bersepadu membabitkan kira-kira 30 anggota daripada JPN, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN negeri, Mohd Nasrom Yusof. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...