loading...

Pengurangan Caruman KWSP, Beri Lebihan Wang Kepada Rakyat – Zeti

PUTRAJAYA 28 Jan. – Pengurangan kadar poto­ngan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga peratus mulai Mac ini dapat memberi wang lebihan kepada rakyat sekali gus me­ningkatkan permintaan penggunaan domestik.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, permintaan domestik menjadi pemacu utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

 

Katanya, pada waktu ini, permintaan domestik dikenal pasti berada pada tahap sederhana.

 

“Kita mahu meletakkan lebih banyak wang dalam tangan pengguna untuk dibelanjakan.

 

“Simpanan untuk persaraan juga amat penting dan saya percaya pe­ngurangan kadar potongan KWSP ini adalah bersifat sementara.

 

“Saya percaya langkah ini hanya dilaksanakan pada tahun ini sahaja bagi menyokong pertumbuhan eko­nomi,” katanya dalam Forum Pe­ngubahsuaian Bajet 2016 di sini hari ini.

 

Pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016 dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Turut sama dalam forum itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Muhd. Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

 

Zeti Akhtar menambah, pihak­nya menjangkakan kadar inflasi pada tahun ini sekitar 2.5 sehingga 3.5 peratus, berbanding dua hingga tiga peratus pada 2015.

 

“Pada suku pertama tahun ini, kadar inflasi dijangka agak tinggi iaitu sekitar empat peratus. Kea­daan ini disebabkan banyak faktor termasuk hasil rasionalisasi subsidi kerajaan dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” ujarnya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...