loading...

Jadi Bahan Sindiran, Melaka Akan Gubal Undang-Undang Sekat Sultan Palsu

BANDAR HILIR ― Ekoran beberapa pihak yang muncul mengiktiraf diri sebagai pewaris takhta kesultanan Melaka kebelakangan ini, negeri itu mahu menggubal undang-undang negeri bagi mengelakkan perkara sama berulang.

 

Antaranya mewujudkan peruntukan yang membolehkan kerajaan negeri menahan dan mendakwa mereka yang membuat dakwaan palsu di luar Melaka.

 

Menteri Besar Datuk Seri Idris Haron berkata, tuntutan sedemikian tidak masuk akal sehingga menyebabkan Melaka menjadi bahan sindiran dan jenaka orang ramai.

 

“Kerajaan negeri akan mengkaji untuk membawa usul bagi menggubal undang-undang enakmen negeri berkaitan tuntutan yang mengatakan seseorang itu raja, sultan atau bonda ratu di Melaka.

 

“Kita juga akan bincang perkara ini bersama beberapa negeri lain yang mempunyai masalah yang sama iaitu tuntutan segelintir pihak yang kononnya mendakwa mereka adalah sultan atau raja di negeri berkenaan,” katanya dipetik akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

 

Idris berkata, pihaknya akan berbincang lanjut dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang turut akan membawa usul berkaitan penganugerahan darjah kebesaran ke peringkat parlimen dalam sesi dewan akan datang.

 

“Semua perbincangan ini ada kaitannya dan Melaka akan mendahului sebagai negeri pertama yang membawa usul ini.

 

“Jika tidak dalam sidang DUN Mac ini, kita akan bawa usull tersebut pada pertengahan tahun ini.

 

“Cadangan usul ini adalah usaha kerajaan negeri untuk menghalang kegiatan yang tidak masuk akal dan sering berlaku di negeri ini dan ia hanya membuang masa dan membazir tenaga kita semua,” katanya.

 

Sebelum ini, Noor Jan Tuah yang menggelarkan dirinya “Sultan Melaka” memberi penganugerahan dan pingat sejak beberapa tahun lalu serta pernah ditahan polis dibawah Akta Hasutan.

 

Seorang wanita yang bekerja sebagai tukang urut menggelar dirinya “Bonda Ratu”, iaitu Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia merancang untuk mengadakan majlis penganugerahan pingat di Melaka sebelum ditahan.

 

Individu lain termasuklah “Maharaja Kinta” yang menggelarkan dirinya sebagai “Yang Mulia Datuk Seri Paduka Diraja” dalam satu majlis di Selangor, serta “Sri Sultan Notobroto Nusantara” yang kononnya diangkat sebagai “Agong Nusantara”. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...