loading...

Gara-Gara Rampas Telefon Anak, Bapa Ditahan Polis Tuduhan Mencuri

DALLAS — Pada tahun 2013, Ronald Jackson terbaca pesanan ringkas dalam telefon pintar anak perempuannya yang berusia 12 tahun, mengumpat tentang gadis lain dengan perkataan yang biadap.

 

Menganggapnya tindakan melampau, Jackson merampas telefon tersebut untuk memberi pengajaran dan mendisiplinkan anaknya yang meningkat remaja.

 

“Saya cuma menjadi seorang ayah. Apabila anak-anak buat salah, kita perlu ajar mereka apa yang betul.

 

“Kita perlu beritahu mereka apa yang dibuat itu salah dan kenakan hukuman supaya mereka sedar,” katanya dilapor portal CBS-DFW.

 

Apabila bekas isteri Jackson, yang bersuamikan pegawai polis Grand Prairie di utara Texas, mendapat tahu kejadian tersebut, beliau mengarahkan polis datang ke rumah mendapatkan telefon itu daripada bekas suaminya.

 

“Jabatan polis tak perlu beritahu saya cara untuk mengajar anak. Tak masuk akal mereka masuk campur dan memperbesarkan perkara kecil semata-mata kerana telefon bimbit,” kata Jackson.

 

Beliau kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak US$1,500 (RM6,200).

 

Setahun setengah kemudian, waran tangkap dikeluarkan dan beliau didakwa di mahkamah atas kesalahan kecurian kecil.

 

Namun hakim Dallas County, Lisa Green pada Selasa lalu menyatakan kes itu tidak ada bukti kukuh kerana polis gagal menjumpai telefon tersebut sekaligus memutuskan Jackson tidak bersalah.

 

“Kenapa kamu perlu menahan seseorang disebabkan isu sebegini? Pegawai polis tidak ada kerja lainkah? Bukankah sepatutnya ada banyak lagi jenayah besar di luar sana yang perlu diselesaikan?” soal Jackson.

 

Bekas isteri Jackson ketika mengulas berkata, masalah utamanya adalah telefon bimbit itu bukan milik bekas suaminya. Jika Jackson memulangkannya dari awal, kes itu tidak akan terjadi.

 

Namun, perkara itu tidak disetujui hakim. Jackson bukan sahaja dibebaskan, malah beliau dibenarkan menyimpan telefon itu. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...