loading...

Dapat suntikan dana dua kali ganda

SELEPAS dipalit dengan masalah kewangan musim lalu, skuad Kuala Lumpur yang kini beraksi di Liga Perdana tampil dengan semangat dan keyakinan baharu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016.

 

Difahamkan, skuad bimbingan Ismail Zakaria ini yang juga dikenali The Hawks bakal mendapat suntikan hampir 12 juta yang merupakan pertambahan dana dua kali ganda berbanding musim lalu.

 

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, berkata pasukan yang dibimbing Ismail mampu merebut slot Liga Super musim depan.

 

“Pihak pengurusan KLFA sentiasa mahukan yang terbaik buat pasukan Kuala Lumpur. Saya yakin pemain akan lebih selesa, fokus dan konsisten pada musim ini dengan adanya jurulatih baharu.

 

“Jurulatih musim ini, saya lihat lebih serasi dengan pemain di samping beliau ada pengikutnya sendiri. Ini memudahkan proses kejurulatihan.

 

“Pastinya kita mahu slot Liga Super berjaya diraih,” katanya selepas Majlis Pengenalan skuad Liga Perdana Kuala Lumpur musim 2016, yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, malam kelmarin.

 

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Penaung KLFA dalam ucapannya percaya kehadiran tiga pemain import baharu serta seorang pemain import yang dikekalkan, Modibo Konte dari Mali, akan membantu skuad The Hawks meraih kedudukan terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

 

“Saya harap gandingan pemain import ini serta kekuatan pemain tempatan yang tidak kurang hebatnya, skuad Kuala Lumpur akan mencapai kejayaan yang diharapkan dengan menduduki kelompok teratas dalam Liga Perdana,” jelasnya.

 

Tiga pemain import baharu itu, ialah Mario Karlovic dari Australia serta Leonardo Moreira de Carvalho dan Anselmo Arruda da Silva, kedua-duanya dari Brazil.-sinar

Previous
Next Post »
loading...