loading...

Bawa watak seperti Kingsman

Ramai beranggapan watak yang sepatutnya dijayakan Kamal Adli untuk filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof digantikan pendatang baru, Mas Khan, 22.

 

Kamal digugurkan daripada membintangi filem sekual Abang Long Fadil itu oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam kerana tidak mahu timbul masalah ketika penggambaran dijalankan.

 

Kehadiran Kamal dirasakan mungkin membuatkan pelakon utamanya, Zizan Razak kurang selesa kerana Kamal kini akrab dengan bekas kekasih Zizan, Emma Maembong.

 

Bagaimanapun, Mas Khan atau Mas Hidzir Khan menafikan watak dipegangnya dalam Abang Long Fadil 2 pernah dibawa Kamal dalam filem pertama dulu.

 

Ditemui baru-baru ini, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Gerak Khas dan filem Biasan itu akui terpanggil untuk menjelaskan perkara itu kepada umum supaya tidak timbul salah faham.

 

Katanya, watak dijayakannya dalam filem sekual ini bukan menggantikan Kamal kerana ia tiada kena mengena atau ada kaitan dengan watak dalam filem pertama.

 

“Semua watak dalam filem Abang Long Fadil 2 ini sangat berbeza dengan filem pertama kecuali watak dijayakan Zizan.

 

“Sewaktu sidang media Abang Long Fadil 2, ada juga wartawan bertanya mengenai perkara ini dan saya sudah perjelaskan.

 

“Cuma ketika itu saya tidak boleh jawab banyak sangat kerana watak yang saya bawakan ini perlu dirahsiakan kerana ia penting untuk plot dan jalan cerita,” katanya.

 

Mas Khan akui masih mendengar kata-kata orang mengatakan dirinya menggantikan tempat Kamal. Katanya, cerita Abang Log Fadil 2 masih bertunjang kepada Zizan sebagai Fadil manakala pelakon pembantu adalah Syamsul Yusof.

 

“Untuk watak lain, semua yang terbabit mempunyai kekuatan tersendiri seperti Datuk AC Mizal dan Wak Doyok.

 

Saya memegang watak gengster tetapi ia jauh berbeza dengan watak yang dilakonkan Kamal Adli sebelum ini,” katanya.

 

Untuk mewujudkan karakter bertambah menarik di layar lebar, Mas Khan berkata, Syafiq membentuk watak dipegangnya seperti dalam filem Kingsman.

 

“Saya pegang watak Rudy, orang kanan Taji lakonan A Galak yang juga ketua gangster atau pun mafia. Apabila penggambaran dijalankan melihat gaya saya ramai yang bertanya kenapa penampilan Mas Khan saling tidak tumpah seperti pelakon Kingsman The Secret Agent.

 

“Sebenarnya Syafiq memang mahu membentuk penampilan Rudy seperti Eggsy dalam Kingsman. Bayangkan walaupun untuk Gerak Khas saya membawa watak serius, apabila menjadi gengster seriusnya pun sudah tentu dari sudut berbeza.

 

“Saya juga menggayakan blazer dan kot sepanjang penggambaran. Mula-mula hanya watak saya yang berpakaian sedemikian rupa tetapi apabila melihatkan gaya itu menarik, watak lain juga turut mengenakan gaya sama. Jadi kebanyakan pelakon nampak sinonim dan benar-benar ada kelas,” katanya.

 

Kata Mas Khan, dia seronok berlakon dalam Abang Long Fadil 2 kerana filem kedua ini menampilkan watak lakonannya yang ternyata berbeza.

 

“Filem ini penuh dengan aksi seperti letupan dan pertarungan. Istimewa kepada penonton yang bakal menyaksikan filem ini apabila ditayangkan kelak, apabila mereka dapat melihat bagaimana saya membuat aksi stunt sendiri.

 

“Walaupun untuk melakukan aksi lasak itu sangat mencabar dan saya mengalami luka dibahagian leher, ia memberi kepuasan kepada saya.

 

“Saya bertuah apabila Syafiq dan Datuk Yusof memberi peluang kepada saya untuk sama-sama menjayakan filem ini,” katanya.

 

Abang Long Fadil 2 mengisahkan perjalanan hidup Fadil (Zizan) yang terjerumus ke dalam dunia mafia didalangi Taji Samprit (A Galak) dan anaknya, Wak Doyok.

 

Berlaku satu insiden yang menyebabkan Fadil disalah anggap oleh Insp. Wahab dan Insp. Shuib sebagai pembunuh upahan yang dikenali sebagai Tiger.

 

Pelbagai aksi dan situasi komedi berlaku dalam perjalanan hidup Fadil sebagai pembunuh upahan. Hanya satu cara untuk membersihkan namanya iaitu mencari identiti sebenar Tiger bagi membetulkan keadaan dan membuktikan Fadil tidak bersalah.

 

Penggambaran bermula 15 November tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Putrajaya.-HMetro

Previous
Next Post »
loading...