KUALA LUMPUR – Tindakan PKR menukar bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dahulu tidak boleh disamakan dengan apa yang dilakukan oleh Umno terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana ia dilakukan dengan cara tertib, kata ahli Parlimen PKR, Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Kata Johari, ‘Langkah Kajang’ yang diambil oleh PKR dibuat selepas Khalid enggan meletakkan jawatan meskipun diarahkan berbuat demikian oleh parti.
“Kalau pun nak berlaku mesti melalui tertib demokrasi. Nak memaksa dengan paksaan ini memberikan kecelaruan di peringkat bawahan.
“Di Selangor kami laksanakan dengan tertib. Masalahnya Umno tidak melakukannya dengan cara tertib seperti kami,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini.
PKR dalam usaha untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah mengeluarkan dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’ kononnya senarai salahlaku yang dilakukan oleh Abdul Khalid.
Abdul Khalid kemudiannya memfailkan saman terhadap Datuk Saifuddin Nasution Ismail secara peribadi atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung PKR (ketika saman difailkan) yang didakwa memfitnah bekas Menteri Besar itu.
Kes saman tersebut selesai selepas Abdul Khalid menerima permohonan maaf daripada Saifuddin dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, M Gunalan. – TheRakyatPost