loading...

Adun Jitra Enggan Tandatangan Surat Akuan Singkir Mukhriz

ALOR SETAR – Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Datuk Aminuddin Omar merupakan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak menandatangani surat pengakuan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar.

 

Akuinya, beberapa individu cuba mencarinya melalui pelbagai cara sejak semalam untuk memujuknya supaya berbuat demikian namun beliau tetap enggan berbuat demikian.

 

“Mereka telefon, saya tidak angkat. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, saya tetap dengan pendirian dan istiqamah untuk terus berada di belakang Mukhriz untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.

 

“Saya tidak takut menyatakannya atau risau hilang jawatan sekiranya menteri besar baharu dilantik pada masa depan. Saya tetap setia bersama Mukhriz,” katanya.

 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-88 di Istana Anak Bukit, di sini semalam.

 

Sejak pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu, dilaporkan se­ramai 19 daripada 21 ADUN di Kedah sudah pun menandatangani surat berkenaan sehingga semalam.

 

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak mengetahui isi kan­dungan surat berke­naan kerana tidak pernah melihatnya.

 

“Saya tidak tahu apa yang tertulis di dalamnya tetapi saya difahamkan surat tersebut mempunyai kaitan dengan rasa tidak percaya terhadap Mukhriz,” katanya.

 

Sementara itu cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas daripada beberapa lagi ADUN termasuk Datuk Mohd Rawi Abd. Hamid, Datuk Suraya Yaacob serta Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah yang turut hadir ke istiadat itu gagal kerana kesemua mereka enggan mengulas.

 

ADUN Gurun yang juga Timbalan Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong dalam pada itu berkata, parti komponen itu yakin dengan kemampuan Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut itu.

 

“Sebelum ini, kemelut yang hampir sama turut pernah berlaku di negeri-negeri lain dan Perdana Menteri berjaya menanganinya dengan baik. Jadi saya yakin kita sudah cukup berpengalaman untuk mengatasi perkara ini,” katanya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...