“Terima kasih dan alhamdulillah! Itu antara kata-kata yang keluar dari mulut Muhammad Nassar Sanusi selepas dana pemindahan hati dan rawatan susulan anak lelakinya, Aysar Nasri telah mencukupi hasil daripada kebaikan rakyat Malaysia.
“Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang beri sumbangan, kongsikan hantaran dan doakan Aysar Nasri,” demikian coretan bapa bayi menghidap Biliary Atresia, Muhammad Nassar Sanusi.
Muhammad Nassar, 29, memuat naik hantaran itu di facebooknya sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan sejak kisah anak bongsunya, Aysar Nasri, tular di laman sosial, beberapa hari lalu.
Hantaran itu dibuat Muhammad Nassar bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa kempen pendanaan awam (crowdfunding) untuk anaknya dihentikan bermula hari ini (semalam).
Muhammad Nassar turut berharap orang ramai terus menyumbang kepada individu memerlukan selain mendoakan pembedahan anaknya itu berjalan lancar.
Dalam tempoh 24 jam dana cukup
“Saya rasa bersyukur kerana dalam tempoh kurang 24 jam saja, dana diperlukan mencukupi hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.
“Bukan hanya sumbangan dalam bentuk wang ringgit, tetapi mereka (orang ramai dan warganet) turut mendoakan Aysar Nasri selain memberi kata semangat kepada saya dan isteri untuk terus cekal mengharungi dugaan ini.
“Hanya Allah SWT dapat membalasnya dan semoga anda dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sebelum ini, tular kisah Aysar Nasri yang menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik sejak berusia dua bulan dan kini mendapat rawatan di Wad Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena jangkitan kuman buat kali ketiga.
Berikutan penyakit itu, Aysar Nasri disyorkan menjalani pembedahan pada 23 Oktober ini, tetapi berdepan kesulitan kerana perlu mencari dana sebanyak RM120,000 dalam tempoh singkat.
Dapat tahu hidap Biliary Atresia ketika usia dua bulan
Bercerita lanjut, Muhammad Nassar berkata, penyakit anaknya itu dikesan 16 Mei lalu iaitu ketika Aysar berusia dua bulan hasil pemeriksaan dilakukan pakar.
“Aysar dilahirkan normal tetapi badannya menjadi kuning dan selepas dirujuk ke hospital doktor mengesahkannya menghidap Biliary Atresia.
“Dua hari kemudian, Aysar menjalani pembedahan dan saya sangka keadaannya kembali normal tetapi dia diserang demam diikuti jangkitan kuman pada hati dua minggu kemudian yang menyebabkannya ditahan di hospital.
“Sejak itu, Aysar kerap keluar masuk hospital dan kini dia dirawat di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena jangkitan sama dan hospital juga ibarat rumah kedua buatnya,” katanya.
Menurut Muhammad Nassar, pembedahan yang akan dijalankan itu bukan jaminan untuk Aysar sembuh sepenuhnya kerana ada kemungkinan anaknya mengalami komplikasi kesan daripada pemindahan hati atau risiko kehilangan nyawa.
Harap ada peluang kedua Aysar
Namun Muhammad Nassar dan isteri, Nor Asyifa Mohd Fauzi, 29, sudah bersiap sedia dan tidak sesekali berputus asa untuk memastikan Aysar mendapat peluang kedua untuk hidup.
“Sebelum ini, saya hanya mampu bersimpati setiap kali membaca kisah ibu bapa lain mempunyai anak dilahirkan dengan penyakit dan lain-lain lagi.
“Bila jadi pada diri sendiri, baru saya sedar betapa beratnya untuk menanggungnya dan mulanya agak susah untuk menerima hakikat itu.
“Malah isteri saya kerap menangis kerana sedih melihat Aysar menanggung derita akibat penyakit berkenaan tetapi kini kami berdua reda dengan ujian ini,” kongsinya.
Sumber: Metro & FB Nassar Sanusi ; IG Nassar Sanusi